16 April 2012

Rakan hilang dikhuatiri lemas

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PORT DICKSON – Tindakan seorang lelaki meninjau kawasan lombong untuk memancing bertukar tragedi apabila dia sedari hilang dan dikhuatiri lemas dalam lombong berkenaan, petang semalam.

Kejadian berlaku di Kampung Barisan, di sini apabila mangsa, Mohd Sani Abd Wahab, 43, datang bersama rakannya, Mohd Nazil Ilham Abd Hamid, 31, dari Seremban untuk meninjau kawasan berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zulkefli Adamsah berkata, kedua-duanya tiba sekitar 12 tengah hari semalam dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Menurutnya, mangsa kemudian memberitahu rakannya mahu membuang air, sebelum meninggalkan Mohd Nazil Ilham berseorangan.

“Bagaimanapun, setengah jam kemudian, Mohd Sani tidak dapat dihubungi dan talian telefon bimbitnya juga tidak aktif. Mohd Nazil Ilham kemudiannya menghubungi polis,” katanya kepada pemberita, semalam.

Zulkefli berkata, mangsa dipercayai hilang sekitar 12.30 tengahari hingga 1 petang.

“Operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan menggunakan bantuan pasukan anjing pengesan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

“Unit Skuba Pasukan Bomba dan Penyelamat Telok Kemang turut melakukan operasi mencari di air yang diketuai Pegawai Bomba Kanan 2, Mohd Rashid Sulaiman,” katanya.

Sehingga jam 9 malam semalam, mangsa masih belum ditemui lagi.

Pasukan penyelamat turut menggunakan kasut mangsa sebagai petunjuk kepada anjing pengesan untuk menjejak mangsa.

Sementara itu, Mohd Nazil Ilham enggan ditemui media kerana masih terkejut.

Difahamkan, kedua-dua sahabat itu bekerja di Melaka dan pergi memancing untuk mengisi masa cuti sempena Ulang Tahun Kesembilan Bandaraya Melaka.

Sinar Harian

Tiada ulasan: