16 April 2012

Kekalahan tahun lalu jadi pengajaran

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BALING - Kekalahan pasukan Bawah 18 Tahun Baling/Sik dengan pasukan Kota Setar tahun lalu terubat setelah menjadi johan Bola Baling Majlis Sukan Sekolah Kedah (MSSK) di Dewan Futsal Tun Abdul Razak, Baling kelmarin.

Pasukan yang terdiri daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Bakai dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai itu membuktikan sekolah kampung turut boleh menandingi pasukan dari sekolah bandar.

Pengerusi Teknik Bola Baling Baling, Mohamad Naim Ishak berkata, pasukan Baling/Sik berjaya menundukkan musuh tradisinya iaitu Kota Setar dengan mata 5-4.

Kota Setar yang pernah menundukkan Baling/Sik dengan mata 3-1 tahun lalu terpaksa akur dengan ketangkasan dan balingan padu pasukan Baling/Sik yang diketuai Ibrahim Zakaria.

Mohamad Naim berkata, kejayaan itu adalah hasil komitmen padu pemain, selain latihan yang berterusan sejak awal tahun lagi.

“Saya berpuas hati dengan corak permainan pasukan ini yang ternyata menggunakan kekuatan mereka dengan sepenuhnya.

“Saya kagum dengan semangat yang ditunjukkan setiap pemain dan berharap, mereka dapat mengekalkan rentak permainan ini kelak,” katanya.

Menurutnya, strategi yang digunakan iaitu ‘fast brake’, selain kelincahan mengawal bola berjaya menembusi palang gol pasukan lawan.

Pasukan Baling/Sik akan mewakili Kedah ke peringkat kebangsaan pada 2 sehingga 9 Jun ini di Kelantan.

“Saya berharap pasukan Baling/Sik dapat meningkatkan lagi kekuatan mereka untuk memperoleh kemenangan di peringkat kebangsaan kelak,” katanya.

Majlis penyampaian pingat dan sijil disempurnakan Pegawai Pejabat Pelajaran Baling/Sik, Abdul Razak Md Noh.

Sinar Harian

Tiada ulasan: