16 Oktober 2009

Airasia Umum Tiga Laluan Baharu India

KUALA LUMPUR, 15 Okt :- Penerbangan kos rendah AirAsia akan memulakan penerbangan terus harian ke Kolkata, Kochi dan Thiruvananthapuram (Trivandrum) di India bulan depan.

Penerbangan itu menawarkan tambang serendah RM129 terangkum satu hala bagi tarikh tempahan daripada 15 hingga 20 Okt, 2009.

Ini adalah untuk perjalanan daripada 12 Nov 2009 hingga 31 Julai 2010, untuk Kochi, mulai 16 Nov 2009 hingga 31 Julai 2010, untuk Thiruvananthapuram (Trivandrum) dan daripada 19 Nov 2009 hingga 31 Julai 2010 untuk Kolkata.

"Ketika kebanyakan penerbangan membuat penjimatan pada waktu ekonomi yang sukar ketika ini, AirAsia mengembangkan jaringan laluan India secara agresif kerana kami percaya terdapat permintaan yang tinggi terhadap perjalanan tambang murah," kata ketua komersil wilayah, Kathleen Tan, dalam satu kenyataan hari Khamis.

"Kami percaya tambang yang murah serta perkhidmatan inovatif kami akan membuka pasaran baharu, merangsang permintaan perjalanan baharu dan membolehkan lebih ramai orang untuk terbang bersama-sama kami, dan dengan itu menggalakkan pelancongan yang akan menguntungkan kedua-dua negara," katanya.

Tempat duduk adalah terhad dan boleh didapati menerusi www.airasia.com dan mobile.airasia.com.

Kolkata terletak di Bengal Barat sementara Kochi dan Thiruvananthapuram kedua-duanya terletak di Kerala.

AirAsia melancarkan laluan pertamanya ke Trichy, India, yang terletak di Tamil Nadu pada 1 Dis 2008.

Penerbangan untuk laluan pertama itu mencatatkan kapasiti purata 85 peratus, katanya.

Setakat ini, AirAsia telah menerbangkan lebih 100,000 penumpang bagi laluan itu.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: