16 Oktober 2009

Khir saman Speaker isu larangan hadir sidang DUN

Bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo telah memfailkan saman terhadap Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) Selangor, Teng Chang Khim berhubung keputusan menggantung beliau daripada menghadiri persidangan DUN selama setahun.

Dr Mohamad Khir, yang merupakan ADUN Sungai Panjang dan ketua pembangkang di DUN Selangor, memfailkan saman pemula melalui
peguamnya MM Athimulan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin lepas.

Selain Teng, yang juga pengerusi Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Negeri Selangor dan Speaker DUN, beliau turut menamakan Setiausaha DUN Selangor dan kerajaan Selangor sebagai defendan.

Athimulan memberitahu pemberita di Shah Alam hari ini bahawa saman itu adalah bagi memohon satu deklarasi bahawa keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan itu pada 19 Mei lepas menggantung Dr Mohamad Khir daripada menghadiri persidangan DUN dan menarik balik kemudahan elaun beliau sebagai anggota dewan selama setahun, adalah tidak sah dan terbatal.

Dr Mohamad Khir juga menuntut satu deklarasi bahawa keputusan DUN pada 15 Julai lepas menggantung beliau daripada menghadiri sidang DUN selama setahun juga tidak sah dan terbatal.

Athimulan berkata bekas menteri besar itu turut menuntut deklarasi bahawa keputusan kerajaan negeri mewujudkan Enakmen Penghinaan Dewan 2009 sebagai tidak sah dan terbatal kerana ia bercanggah dengan perlembagaan.

"Dr Mohamad Khir turut menuntut deklarasi bahawa pembabitan Teng selaku pengerusi Selcat dan juga pengerusi Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan berhubung keputusan penggantungan beliau sebagai tidak sah dan terbatal kerana ia melibatkan pertembungan kepentingan kerana Teng bertindak sebagai pendakwa dan beliau juga yang membuat keputusan bagi pihak jawatankuasa itu," katanya.

Athimulan berkata Dr Mohamad Khir menuntut ganti rugi berhubung elaun yang ditarik balik sepanjang penggantungannya, emolumen dan relif lain yang difikirkan sesuai dan wajar oleh mahkamah selain hak beliau untuk kembali menghadiri persidangan DUN akan datang tanpa halangan daripada mana-mana pihak terutama Speaker DUN.

Pada 15 Julai lepas, Timbalan Speaker, Haniza Mohd Talha mengumumkan penggantungan Dr Mohamad Khir selama setahun dan penarikan balik semua keistimewaannya sebagai wakil rakyat sepanjang tempoh penggantungan itu kerana gagal hadir sidang siasatan awam Selcat pada Mac lepas berhubung penggunaan wang penajaan oleh Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis) dan didakwa mengeluarkan kenyataan menghina jawatankuasa itu dalam media.

Dr Mohamad Khir yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata beliau berharap mahkamah dapat membuat keputusan dengan cepat supaya beliau dapat menghadiri persidangan dewan bulan depan untuk pembentangan bajet. BERNAMA

MalaysiaKini/-

4 ulasan:

isu terkini berkata...

Mat Khir ..Kalau dah buat salah ngaku jer. Jangan dok sibuk nak saman. Taubatlaa!!

Awanama berkata...

sebelum dari tahun 2008, tak pernah kita dengar apa2 yang dibuat atau diputuskan di DUN mahupun PARLIMEN dibawa ke mahkamah untuk pengadilan... tapi lately.... macam2 isu semua dibawa ke mahkamah... pelik...

hafizzuddin berkata...

sebelum pru 8 mac 08, bn kuat lalu mereka angkuh, selepas hilang beberapa negeri termasuk negeri khir toyo yg sekaligus hilang titlenya sebagai YAB MB, kekuatan yg selama ini mereka war-warkan memakan diri, gelabah, meracau sana-sini sbb kuasa dh terlucut, rakyat dipersalahkan kerana memilih PR, tp masih lg angkuh dan bodoh sombong mengatakan PR gagal tunai tangungjawab hanya bn yg mampu, inilah perangai umnobn, rakyat hanya memerhati, tunggu PRU13, rakyat akan mengajar gerombolan2 ini, puak2 ini akan diusir keluar secara hina dari tampuk kuasa di Putrajaya.

budak pencen berkata...

kalau yb Khir boleh saman speaker Selangor bermakna yb Gobind pun boleh lah juga saman speaker Pandikar parlimen.pelik,setahu kami
orang kampong,keputusan yang dibuat dalam parlimen dan dewan undangan negeri tidak bolih dicabar dimahkamah.sabenarnya bekas mb ni cerdik ke kurang cerdik?