16 Oktober 2009

Perbicaraan kes Ketua Kampung PR ditangguh

IPOH - Perbicaraan bagi kes membenarkan pemecatan atau penamatan perkhidmatan kesemua Ketua Kampung di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat (PR) ditangguhkan kepada 3 November ini.

Penangguhan itu yang dibuat menerusi perbicaraan dalam kamar oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Ipoh, Ridwan Ibrahim disebabkan beberapa isu baru yang perlu dijawab oleh defendan.

Peguam Leong Cheok Heng yang mewakili plaintif, Mohd Ridzuan Asit berkata, penangguhan itu dibuat berikutan Penasihat Undang-undang Negeri Perak memohon bagi memfailkan afidavit kerana mendapati terdapat isu-isu baru yang perlu dijawab.

“Bagaimanapun, sekiranya defendan mengemukakan soalan kepada kami, ianya akan terus dijawab sebelum 2 November bagi memastikan kelancaran perbicaraan pada tarikh tersebut,” katanya kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Hadir sama bagi pihak plaintif adalah peguam Mohd Yunus Ali.

:Pada 22 Julai lalu, Mahkamah Tinggi telah menetapkan perbicaraan dijalankan pada 2 September untuk perbicaraan kes namun ia ditangguhkan kepada semalam (13 Oktober) kerana ketidakhadiran pihak peguam Kerajaan Negeri Perak.

:Plaintif, Mohd Ridzuan menuntut bagi pihaknya, juga selaku wakil kesemua ketua kampung yang dilantik oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada 1 Ogos 2008.

:Pendengaran yang diadakan pada 22 Julai itu, adalah bagi memohon semakan kehakiman tentang sembilan perkara atau relief.

Relief tersebut antara lain meminta supaya membatalkan keputusan dan tindakan oleh responden untuk memecat ataupun menamatkan perkhidmatan pemohon dan kesemua ketua kampung tersebut.

Selain itu, plaintif juga memohon perintah injunksi untuk melarang responden dan/ataupun daripada membenarkan Dewan Orang Ramai dalam semua kampung digunakan semata-mata oleh dan untuk BN sahaja.

Ia juga menuntut agar satu siasatan dan taksiran kerugian punitif. Keterlaluan dan teladan dibuat bagi menentukan ganti rugi untuk dibayar kepada pemohon. Sinar/-

Tiada ulasan: