23 Oktober 2009

Lagi kejadian sejadah berdiri di Kedah

ALOR SETAR: Selepas kejadian sejadah berdiri di surau Sekolah Kebangsaan Tok Sangkut di Pasir Mas Kelantan semalam, kes yang sama berlaku di Surau Al-Rahmaniah Kampung Teluk Yan di sini Rabu.

Kejadian itu disedari oleh seorang murid, Noor Zulaika Mohd Rashid, 9, ketika dia dalam perjalanan ke kelas Al-Quran di sebuah rumah penduduk kampung yang terletak di belakang surau tersebut.

"Saya nampak melalui tingkap surau yang terbuka, ada tiga sejadah yang berada dalam keadaan berdiri tetapi tidak bergerak dan saya terus memberitahu rakan saya," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Mufti Kedah Datuk Badarudin Ahmad menggesa umat Islam agar tidak percaya dengan kejadian sejadah boleh berdiri itu kerana ia boleh membawa khurafat.

"Kita tidak mahu ada orang yang mengambil kesempatan melakukan perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan saya harap umat Islam sentiasa berpegang kepada ajaran Islam dan tidak mudah membuat andaian," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata beberapa petugas Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) telah mengambil sejadah itu untuk dibawa pulang ke pejabat ekoran kejadian tersebut yang telah menjadi tumpuan orang ramai di kawasan berkenaan.

Di PULAU PINANG, kejadian serupa berlaku di sebuah surau di Tanah Liat, Bukit Mertajam pada waktu Asar hari ini, di mana empat helai sejadah yang seakan-akan orang sedang duduk dalam tahiyat dan menghadap ke arah kiblat.

Menurut seorang penduduk, Mohd Khalid Abdul Latif, beliau dimaklumkan oleh kawannya kira-kira pukul 5 petang tadi.

"Apabila saya pergi ke surau itu, saya lihat ada sehelai sejadah di bahagian depan seolah-olah seperti imam dan tiga helai sejadah seperti makmum di saf belakangnya. Apa yang mengejutkan saya, di depan sejadah "imam" itu ada seutas tasbih," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Kejadian sejadah berdiri itu merupakan yang kedua di kawasan Bukit Mertajam selepas kali pertama berlaku di sebuah rumah di Taman Mohd Amin pada 2 Okt lalu.

Mohd Khalid, yang bekerja di sebuah kedai makan bersebelahan Masjid Kubang Semang di sini berkata kejadian itu memang sesuatu yang luar biasa.

Katanya, kejadian itu menarik perhatian orang ramai yang tidak henti-henti berkunjung ke surau berkenaan untuk melihat sejadah berdiri tersebut.

"Bagaimanapun, sejadah itu dilipat oleh jawatankuasa surau sebelum masuk waktu Maghrib tadi bagi mengelakkan ia menjadi perkara khurafat. Saya sempat merakamkan kejadian itu dengan telefon bimbit," kata Mohd Khalid.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Negeri (JKKKN) Mukim 5, Sungai Semambu, Siti Noriza Abu Bakar berkata kejadian itu disedari apabila ada orang hendak menunaikan solat Asar di surau berkenaan petang tadi.

"Ada dua orang penduduk kampung pergi ke surau itu untuk bersembahyang dan sebaik mereka memasuki surau itu, mereka ternampak empat sejadah dalam keadaan berdiri. Bagaimanapun, mereka terus sembahyang dan lepas itu baru memaklumkannya kepada orang kampung," katanya. BERNAMA

8 ulasan:

Junjungan berkata...

Ada satu lagi kejadian sejadah berdiri. Baru saja berlaku di Kulim. Sila layari link di bawah untuk berita selanjutnya.

http://junjungan.blogspot.com/2009/10/panas-sejadah-beridiri-atas-kusyen.html

nasru berkata...

ada perbuatan untuk memesongkan umat islam ni.

muslim brothers shah alam berkata...

Assalamualaikom, Ini semua kerena pengarah Film2 Hantu yang banyyak di TV Malaysia masa kini....

Pihak Filem Negara dan Jabatan Mufti patut tapis Film2 mcm ini patut di SEKAT..

Awanama berkata...

Ini semua karut, kat rumah saya bukan saja sejadah berdiri, telekung berdiri dan sujudpun saya boleh buat.tak caya ambil telekung yang baru dibasuh, masih 'keras' selepas dijemur letak macam orang sujud, boleh jadi ape!

Ahmad Ismail berkata...

penipu...

Awanama berkata...

udah2 la tu dengan sejadah solat... sebelum sejadah solat baik kita pakat2 solat.. pastu simpan sejadah tu leklok..

Awanama berkata...

saya rasa isu sejadah berdiri atau sedang bersolat ni. jangan dipertikaikan. adakalanya ia betul. samada kejadian ini dibuat oleh budak nakal atau oleh kehendakNYA.saya rasa benda ni bagus dihebohkan kerana manusia sekarang ni kurang beriman.

Sentiasa bersyukur berkata...

saya rasa isu sejadah berdiri atau sedang bersolat ni. jangan dipertikaikan. adakalanya ia betul. samada kejadian ini dibuat oleh budak nakal atau oleh kehendakNYA.saya rasa benda ni bagus dihebohkan kerana manusia sekarang ni kurang beriman.