23 Oktober 2009

PKR Perak tidak letak harapan pada Jamaluddin dan Osman

PKR Perak tidak akan meletakkan harapan kepada dua wakil rakyatnya yang berpaling tadah kepada BN untuk kembali menyokong mereka semata-mata untuk membolehkan DUN negeri itu dibubarkan.

Walau timbul desas-desus menyatakan ADUN Behrang dan Changkat Jering telah berhubung dengan PKR negeri, parti itu tidak akan melayan apa-apa tuntutan mereka itu yang didakwa mementingkan "kepentingan sendiri", kata Ketua penerangan PKR Perak, Zulkifli Ibrahim.

Menurutnya lagi, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) serta Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dipercayai masih merupakan wakil rakyat bebas.

"Mereka ada berhubung dengan PKR negeri, itu maklumat yang kita dapat tapi kita tak dapat sahkan," kata Zulkifli ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Zulkifli juga berkata PKR perlu menolak sekiranya benar Jamaluddin dan Mohd Osman telah berhubung dengan PKR negeri untuk kembali menyokong parti tersebut.

"Saya nampak ia lebih kepada kepentingan peribadi, lebih-lebih lagi Behrang," kata Zulkifli lagi.

Beliau turut mendakwa Jamaluddin telah membuat beberapa rundingan melibatkan jawatan dengan BN, setelah keluar daripada PKR.

Menurut Zukifli lagi, rundingan yang dibuat oleh Jamaluddin itu adalah untuk membolehkan masyarakat setempat terus menyokongnya walaupun telah keluar dari parti.

Perbicaraan kes rasuah

Zulkifli mendakwa, Jamaluddin telah meminta kepimpinan BN negeri meletakkan dua orang calon ketua kampung di Behrang yang diketahui sebagai penyokong bekas wakil rakyat PKR tersebut.

"Dia kata kalau Umno tidak letakkan orang dia jadi calon ketua kampung, dia ugut untuk tidak akan sokong usul bajet negeri," kata Zulkifli lagi yang menjelaskan mengenai insiden yang diketahuinya berlaku kira-kira dua bulan lalu.

"Sekarang dua orang ketua kampung itu memang orang (Jamaluddin)," katanya lagi.

Kata Zulkifli lagi, kes rasuah yang masih berjalan terhadap mereka akan tetap digunakan oleh BN untuk menekan kedua-duanya.

Jamaluddin dan Mohd Osman masing-masing telah didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada akhir Ogos tahun lalu atas tuduhan menerima rasuah masing-masing membabitkan RM100,000 dan RM5,000.

Zulkifli menegaskan, Pakatan Rakyat Perak kini harus menumpukan terhadap usaha jangka panjang dan bukannya bertindak semata-mata untuk memastikan DUN Perak dibubarkan.

Katanya lagi, walaupun Pakatan Rakyat di negeri itu sememangnya mahu pilihan raya peringkat negeri diadakan, tetapi tidak semestinya dengan mengembalikan sokongan Jamaluddin, Mohd Osman serta seorang lagi wakil rakyat DAP yang telah meninggalkan Pakatan Rakyat.

"Dalam masa sekarang, kita tidak boleh letakkan harapan kepada mereka... Kalau mereka masih memihak kepada kita, mereka boleh sokong kita.

"Tapi saya tak rasa begitu sebab kalau mereka sokong, sudah tentu kerana sebab mereka berkepentingan," kata Zulkifli lagi.

Malaysiakini/-

3 ulasan:

Awanama berkata...

Saya orang behrang, dan kenal sangat dengan 2 calon ketua kampung yang disebut-sebut ini, khabarnya selepas BN merampas negeri, elaun ketua kampung telah ditarik balik, oleh itu ketua kampung tersebut juga telah beralih arah dan cenderung ke arah BN....supaya dapat balik elaun, tak tau lah nak cakap apa lagi...Jamaludin dan suku sakatnya nampak sangat materialistik dan sewenang2nya menidakkan undi kami...

Awanama berkata...

elaun semua tu harta dunia..mati nanti sendiri jawab la wahai jamalidin dan ketua ketua kampung tersebut..ingat kita boleh mati bila bila masa sahaja.

masuksuku berkata...

Salam yb dan pembaca
Duit atau wang ..nampak semua..sebab orang ber duit atau berwang..beruang pun nampak secara zahir..dosa..hukum ALLAH tak nampak dan kalau dapat pun di tutup rapat rapat..hati resah..takut..semua dalam hati..tak nampak..itu sebab depa sanggup buat apa saja asalkan jadi orang berduit atau beruang..berwang..
jamaludin macam saya pernah nyatakan dulu..pada tag namanya..RM JAMALUDDIN..
bukan kah itu dah gambarkan dirinya..
cuma minta pihak PR berhati hati dengan manis mulutnya dan manis bicaranya..jangan sampai terkena lagi
kalau depa nak berbaik dengan pemimpin umno tu biaq pi sebab depa pun sama species denganya..