02 Disember 2009

Pemimpin Umno, PAS, mufti debat isu realiti Islam di Kelantan

KOTA BHARU, 30 Nov: Jarang berlaku pemimpin PAS dan Umno mampu duduk semeja bagi membincangkan masalah ummah. Namun, lain pula di Kelantan apabila beberapa siri wacana diadakan yang membabitkan kedua-dua pihak.

Berdasar kepada siri wacana yang diadakan sebelum ini hanya Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang berani tampil pada gelanggang PAS bagi memperkatakan isu politik semasa.

Bagaimanapun Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Puad Zakarshi gagal hadir pada wacana yang juga diadakan di sini dianjur kerajaan negeri.

Dan pada 12 Disember ini sekali lagi wacana akan diadakan. Tokoh yang ditampilkan kali ini iaitu bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad dan Ketua Biro Agama Pemuda Umno Kelantan, Afandi Yusof.

Selain itu bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan anggota Exco kerajaan Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, manakala moderatornya, pensyarah kanan UKM, Prof Madya Dr Mohd Agus Yusof.

Wacana terbabit akan mengupas tajuk ‘Islam di Malaysia-Realiti dan Harapan’ akan diadakan pada 12 Disember ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Ahmad Baihaqi Atiqullah berkata, program berkenaan dianjurkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan.

Selain itu Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam.

Katanya, wacana tersebut diadakan bagi membincangkan kedaulatan Islam yang semakin ditekan pihak tertentu di negara ini sehingga ia seperti diperkotak katikkan.

"Selepas itu akan diadakan satu lagi wacana berkaitan royalti minyak. Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa sudah menyatakan persetujuan menyertainya.

"Namun kita masih menunggu jawapan daripada wakil kerajaan pusat atau pun Petronas," katanya.

Baihaki yang juga Adun Pasir Tumbuh berkata, ceramah penerangan mengenai isu royalti minyak yang turut melibatkan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah akan diadakan di Kelantan dan Terengganu tidak lama lagi.

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan: