02 Disember 2009

Rundingan MCA Dilanda Kebuntuan, Berbalah Tentang Pemilihan Baru

KUALA LUMPUR, 30 Nov :- Kumpulan yang berbalah dalam krisis kepimpinan MCA yang masih berlarutan dikatakan gagal mencapai sebarang persetujuan berhubung cara terbaik bagi menyelesaikan masalah terbabit.

Ini berikutan kegagalan mereka mencapai kata sepakat mengenai tarikh baru untuk mengadakan semula pemilihan parti dan sama ada pemilihan itu perlu membabitkan keseluruhan jawatan parti atau hanya anggota Jawatankuasa Pusat (CC) parti sahaja.

"Mereka masih diselubungi kebuntuan. Mereka belum lagi mencapai apa-apa persetujuan mengenai pemilihan baru," kata sumber parti kepada Bernama di sini hari Isnin.

Dalam pertemuan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyelesaikan krisis itu malam semalam, kumpulan yang berbalah itu dikatakan masih bertegas dengan "penjadualan masa pilihan" mereka. (Mesyuarat malam semalam merupakan yang ketiga diadakan selepas mesyuarat serupa berlangsung pada 23 dan 24 Nov).

Sumber menyebut kumpulan yang diketuai oleh Naib Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai bertegas untuk mengadakan pemilihan baru dalam masa 60 hari -- paling lewat menjelang Januari tahun depan dan ia seharusnya membabitkan anggota CC sahaja.

Bagaimanapun, kumpulan yang diketuai oleh Presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat dan timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, dikatakan bertegas supaya pemilihan itu diadakan menjelang Mac tahun depan dan ia seharusnya meliputi semua jawatan, termasuk sayap Pemuda dan Wanita.

Hadir dalam pertemuan bersama Muhyiddin adalah Dr Chua, Setiausaha Agung Datuk Wong Foon Meng dan kesemua empat Naib Presiden iaitu Liow, Datuk Seri Kong Cho Ha, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Tan Kok Hong.

Wong, Kong dan Dr Ng dikatakan berpihak kepada kumpulan Ong-Dr Chua manakala Tan pula dikatakan lebih cenderung kepada Liow.

Bagaimanapun, Ong tidak hadir memandangkan beliau dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kerana sakit perut.

Terdapat khabar angin bahawa kedua-dua kumpulan mungkin kembali kepada formula yang diterima pakai bagi menyelesaikan krisis MCA pada 2002 ekoran keputusan kepimpinan parti untuk mengambil alih Nanyang Press Holdings Bhd.

"Jika kedua-dua pihak tidak dapat mencari penyelesaian secara baik, maka tiada pilihan melainkan kembali kepada status quo. Ini bermakna setiap orang akan memegang semula jawatan asal mereka sehinggalah pemilihan parti seterusnya pada 2011," kata satu sumber lain.

Beberapa anggota CC dikatakan tidak berminat untuk mengadakan pemilihan baru, terutamanya mereka yang tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.

Terdapat juga spekulasi bahawa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti yang dijadual pada 5 Dis mungkin ditangguhkan berikutan kebuntuan yang berlaku sekarang.

Apa jua keputusan berhubung perkara itu perlu ditangguhkan sehingga Rabu ini apabila CC, yang juga badan pembuat keputusan paling berkuasa dalam parti, mengadakan mesyuarat tergemparnya.

Muhyiddin, ketika mengulas perkembangan itu hari ini, berkata pelbagai cadangan daripada pemimpin MCA akan disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekembalinya beliau dari luar negara.

-- BERNAMA

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalammualaikum YB,

apa dah jadi dgn kpi mat sembab?