02 Disember 2009

Puisi Panjang "Chun Jiang Hua Yue Ye" yang Dihasilkan pada Zaman Dinasti Tang


Puisi yang dihasilkan pada zaman Dinasti Tang diiktiraf sebagai komponen yang paling cemerlang dalam kesusasteraan klasik China, kerana mempunyai keistimewaan yang tersendiri, iaitu penggunaan kata yang tidak banyak, susunan ayat yang rapi, dan gaya penggambaran yang unggul. Penyajak-penyajak yang hidup pada zaman Dinasti Tang bijak mencipta pemandangan yang penuh dengan khayalan untuk para pembaca sehingga menjadikan pembaca asyik menikmati keindahan khayalan yang digambarkan melalui karya mereka. Contohnya, puisi panjang yang bertajuk "Chun Jiang Hua Yue Ye" yang dihasilkan oleh Zhang Ruoxu.

Zhang Ruoxu yang hidup dalam tempoh peralihan dari era permulaan hingga ke kemuncak zaman Dinasti Tang, iaitu pada sekitar tahun 700 Masehi, tidak mencipta banyak karya semasa hayatnya, malah hanya meninggalkan dua buah karya sahaja yang masih tersebar pada masa ini. Sebuah daripadanya ialah "Chun Jiang Hua Yue Ye" yang bermaksud pemandangan malam di sungai pada musim bunga.

Kita tidak patut membuat tanggapan dengan melihat hanya terdapat dua karya sahaja yang ditinggalkan oleh Zhang Ruoxu. Sebenarnya satu sahaja karyanya, iaitu "Chun Jiang Hua Yue Ye" sudah cukup meletakkan beliau pada kedudukan penyajak tersohor dalam sejarah puisi zaman Dinasti Tang. Melalui puisi tersebut, Zhang Ruoxu mempamerkan kelebihannya dengan amat berkesan dalam menggambarkan pemandangan alam sekitar, sekali gus mencampurkan falsafahnya tentang kehidupan umat manusia serta hukum alam dan misteri angkasa lepas.

Puisi panjang "Chun Jiang Hua Yue Ye" berjaya mencipta sebuah gambaran yang hidup yang terdiri daripada sungai, bunga-bungaan dan bulan dengan berlatarbelakangkan pemandangan malam ketika tibanya musim bunga. Suasana yang diciptanya seolah-olah membantu para pembaca menikmati satu lukisan yang penuh dengan misteri, di samping menghayati harapan untuk mengejar kehidupan yang bahagia.

Pada permulaan puisi tersebut, Zhang Ruoxu menunjukkan sebuah gambaran yang tenang kepada pembaca dengan ayat-ayat yang berbunyi, "Air pasang perbani kelihatan terbentang luas bertemu dengan lautan pada lokasi yang kabur. Nyaman rasanya, cuaca sudah mulai menghangat setelah memasuki musim bunga. Cuba lihat, air laut yang berombak perlahan-lahan ini seolah-olah memikul Sang Bulan tertib dari bumi ke langit. Ketika melihat air laut yang bergelombang ini, aku yakin tiada satu pun sungai yang tidak diselimuti cahaya bulan. Betapa indahnya pemandangan sungai yang berliku-liku, yang mengalir melalui beting-beting yang ditumbuhi rumpun bunga dan rumput yang banyak. Cahaya bulan yang ternampak di celah-celah antara pokok yang sudah berbunga umpama bunga salji yang tertabur di atas pokok-pokok itu. Pemandangan di beting berubah-ubah antara jelas dan kabur kerana cahaya bulan yang terganggu pancarannya."



Setelah menggambarkan pemandangan alam yang murni, Zhang Ruoxu terus melontarkan pertanyaannya yang penuh dengan falsafah tentang kehidupan umat manusia kepada Sang Bulan, "Katanya, siapa yang paling awal nampak bulan? Bila Sang Bulan memancarkan cahayanya kepada umat manusia yang hidup dari generasi ke generasi, setiap generasi menghayati kehidupan yang berbeza-beza, sedangkan pemandangan bulan dan sungai tidak mengalami perubahan sejak sekian lama. Aku tidak tahu siapa lagi yang berdiri dalam cahaya bulan di tebing sungai pada masa ini, hanya melihat air sungai mengalir ke timur dengan tenang."


Akhirnya, penyajak ini menamatkan puisi panjangnya dengan sepotong ayat "Aku tidak tahu, setelah Sang Bulan memancarkan cahaya yang tenang ini, berapa ramai orang yang boleh pulang ke rumah mengikut masa yang sepatutnya? Hanya tinggal cahaya bulan yang bersinar di celah-celah pokok di tebing sungai yang membayangkan rasa resah mereka yang tidak dapat pulang ke rumah."

----DAZHONG

CRI/-


Tiada ulasan: