26 Jun 2010

Abaikan Syariat kerana salah faham tuntutan hukum

12 Rejab 1431 H
Oleh: Ahmad Baei Jaafar

Dalam Islam hanya ada lima tuntutan hukum, namun ramai yang memahaminya secara salah lalu mengabaikan tuntutan sebenar. Kesannya hukum Allah tidak terlaksana secara sempurna. Masih ada lompong di mana-mana hingga kelihatan tidak cantik. Oleh sebab pengabaian ini jugalah barangkali umat Islam tidak menjadi maju dan tidak membangun zahir dan batinnya.Jadi, pada kali ini mari kita amati lima hukum itu dan cuba menyuluh ketidaksempurnaan itu demi memartabatkan ketamadunan umat Islam pada masa hadapan.

Lima hukum itu ialah:

1. Wajib; sesuatu amalan yang dituntut melakukannya. Sesiapa yang mengamalkannya akan diberi pahala dan sebaliknya mereka yang mengabaikannya dikira berdosa dan akan diseksa. Hakikat perintah wajib ini adalah satu paksaan daripada Allah.

2. Sunat; sesuatu amalan yang juga dituntut melakukannya. Sesiapa yang melakukannya diberi pahala, tetapi sesiapa yang mengabaikannya tidak dikira berdosa dan tidak diseksa. Hakikatnya perintah ini sebagai satu galakan dan rangsangan.

3. Haram; sesuatu amalan yang dilarang melakukannya. Sesiapa yang melakukan larangan itu akan dikira berdosa dan akan diseksa. Sesiapa yang tidak melakukan larangan itu dikira sebagai melakukan kebaikan dan beri pahala. Hakikatnya umat Islam dipaksa meninggalkan larangan itu.

4. Makruh; sesuatu amalan yang juga dilarang melakukannya. Sesiapa yang melakukan larangan itu tidak dikira berdosa dan tidak diseksa tetapi sesiapa yang meninggalkan larangan itu dikira telah melakukan kebajikan dan diberi pahala. Hakikatnya umat Islam digalakkan supaya meninggalkan amalan itu.

5. Harus; sesuatu amalan sebagai aktiviti harian manusia yang lazimnya baik dan tidak
bercanggah dengan prinsip hukum diberi kebebasan untuk melakukannya. Mereka yang melakukannya kerana meniru cara Rasulullah akan diberi pahala meniru. Jika tidak, maka amalan itu dikira amalan biasa yang tidak dinilai pahala. Hakikatnya terpulanglah kepada manusia sama ada hendak buat atau tidak.Tuntutan yang diabaikan

Melihat kepada susunan lima hukum itu, rasanya ramai yang sudah tahu, tetapi saya percaya ramai lagi yang tidak faham di sudut prinsip dan konsepnya. Kalau mereka faham masakan masih ramai umat Islam yang mengabaikannya malah mempertikaikannya. Jadi, perkara ini perlu dilihat semula.

Wajib, berapa ramai yang menyedari bahawa Allah memaksa kita untuk melakukannya. Siapa yang sedar Allah paksa kita melakukan solat, puasa, haji dan keluarkan zakat? Siapa yang sedar bahawa Allah paksa kita menutup aurat? Siapa yang sedar bahawa Allah paksa kita berlaku adil dalam mentadbir dan menghukum?

Ramai yang tahu hukum wajib, buat dapat pahala dan tinggalkan berdosa. Tetapi ramai yang tidak sedar bahawa Allah memaksanya untuk melakukan semua amalan itu. Mereka langsung tidak fikir paksaan itu apatah lagi mereka yang merujuk kepada Ayat, “Tiada paksaan dalam beragama.” Lalu dengan ayat itu mereka berhujah dengan mengatakan Islam tidak memaksa umatnya dalam urusan melaksanakan hukum agama.

Padahal ayat itu merujuk kepada urusan dakwah, mengajak umat manusia kepada Islam, mereka tidak boleh dipaksa untuk menerima Islam. Tugas pendakwah hanya mendakwahkan mereka kepada Islam, tapi urusan hendak terima atau tidak terserah kepada mereka. Jika ada jodoh, Allah yang akan beri hidayah kepada mereka.

Apa bukti paksa? Buat dapat pahala dan tidak buat dikira berdosa dan diberikan neraka, tentulah tuntutan yang keras. Tidakkah ini paksaan. Kenapa, Allah tidak layak paksa kita? Allah wajar paksa kita kerana Allah tahu manusia ini kalau tidak diberi tekanan, dia akan abaikan begitu saja. Sedarkah kita, Allah paksa untuk kebaikan manusia itu sendiri. Kalau manusia tahu kedudukan ini wajarkah manusia mengabaikan perintah wajib ini?

Dalam pejabat ada peraturan wajib masuk awal waktu, mereka wajib menggunakan kad perakam waktu. Mereka yang lewat datang akan bertanda mereka dan jika banyak kali akan diambil tindakan, tidakkah itu satu paksaan. Lalu semua pekerja mematuhinya. Kalau terlewat datang, mereka diwajibkan menjawab dengan memberi alasan yang munasabah. Kalau peraturan pejabat kita boleh patuhi mengapa peraturan Allah kita boleh abaikan? Jawabnya kerana kita tidak rasa dipaksa.

Saya percaya kalau ramai umat Islam yang menyedari hakikat ini, sudah pasti, masjid akan penuh setiap waktu, setiap orang baik lelaki mahupun wanita akan menutup aurat, dan setiap orang Islam akan mengeluarkan zakat. Kalau semua ini berlaku, tiada lagi orang yang hendak buat dosa, tiada lagi wanita yang akan dirogol dan tiada lagi orang miskin yang terbiar dalam negara ini.

Sebenarnya perintah wajib ini tidak banyak, jumlahnya boleh dibilangkan dengan jari sahaja. Jadi, carilah sendiri mana perintah wajib itu dan segera amalkan bersungguh-sungguh. Biarlah kita lakukan itu semua dengan suka hati sebelum Allah paksa kita dengan ancaman dimasukkan ke dalam neraka.

Cukup hingga setakat ini dahulu huraiannya, pada masa akan datang kita akan kupaskan pula hukum yang berbaki. Wallahuaklam.

Tiada ulasan: