26 Jun 2010

Pendedahan Eksklusif! (Bongkok Dan Silakan Masuk Ke 'Rumah' Kami)

12 Rejab 1431 H
Oleh: saran mehzalan

Saya berada di Kota Kinabalu, Sabah, sejak 11 Jun lalu. Lihat gambar , saya rakamkan pada jam 4.30 petang semalam.

Langit biru, pantai tenang, jiwa menjadi lebih tenteram. Namun isu bakal saya kongsikan bersama pembaca tampalan ini, lebih daripada itu. Perhatikan gambar jambatan di Jalan Tanjung Lipat, Teluk Likas. Menarik? Mungkin tidak, hanya jambatan.

Cuba lihat close up papan tanda ini.

Maksudnya, orang ramai dilarang mendekati kawasan ini, berbahaya. Namun sewaktu meninjau kawasan sama dari jarak jauh, saya rakamkan gambar berikut di bawah jambatan.

Kain bersidaian, semestinya milik manusia seperti kita. Lantas kami meninjau lebih dekat. Didahului jurukamera, Mohd Zamri Ajmain, 'Jai', diikuti penerbit 999, Shanun Hanif bersama jurukamera berpengalaman, mula saya kenali 14 tahun lalu, Kassim Mahmun, 'Pak Kassim'.

Apa kami lihat, memeranjatkan.

Kawasan di bawah jambatan ini berpenghuni. Pantas kami mendekati 7 sekeluarga tinggal dalam keadaan daif dan kotor, tanpa bekalan air bersih, jauh sekali elektrik. Ketua keluarga, Subanati, berbaju merah, berketurunan Bajau Laut, atau lebih dikenali dengan gelaran 'palau'u' ditemubual Shanun.

Menurutnya, mereka sekeluarga tinggal di bawah jambatan terbabit sejak 7 bulan lalu. Dia mempunyai 'biliknya' sendiri. Mujur Pak Kassim berkebolehan berbahasa palau'u, menterjemahkan perbualan kerana Subanati tidak boleh berbahasa Melayu.

Dalam keadaan busuk dan panas, dia berkongsi beberapa fakta, mengaku dia dan ahli keluarganya tidak memiliki dokumen pengenalan diri manakala hasil bekerja mencari pelbagai cengkerang antaranya tiram dan kerang di laut berhampiran tidak seberapa. Justeru, dia tidak mampu menyewa rumah seperti orang lain. Kesengsaraan hidupnya dikongsi bersama, isteri, 3 anak, ibu, menantu dan cucu.

Lihat buaian di kiri anak perempuan Subanati, Sibunga dan menantunya, Jimmy. Sambil berjalan membongkok, saya menghampiri buaian dan sekaligus hati sayu melihat 'penghuninya'. Bayi berusia 4 bulan, Musliana, tidur nyenyak, biarpun di atas, ribuan kenderaan lalu-lalang melintasi jambatan.

Beberapa minit kemudian dia terjaga kerana basah. Sejurus seluar disalin ibu, saya mendukung anak kecil ini.

Reaksinya seperti dijangka lebih awal, cuma pembaca tidak berpeluang mendengar jeritannya mengalahkan pitch tertinggi suara merdu Ning Baizura.

Manakala di pangkin kayu sebelah, anak lelaki kecil Subanati, anak perempuan remaja dan ibunya berbaring tanpa berlapik. Badan mereka panas, demam dan batuk, cuma diselimuti kain basahan lusuh.

Namun gambar saya rakamkan di bawah, berhampiran mereka mungkin membantu menjelaskan keadaan sebenar mengapa kesihatan kesemua ahli keluarga terbabit terjejas.

Tikus merayap longlai, kelihatan tidak sihat dan aktif.

"Dia orang semua tak ada dokumen, jadi bila ditanya, mana dia orang tahu umur berapa sebab tak tahu bila lahir," ujar Pak Kassim dalam loghat Sabah.

Menurutnya lagi, di Sabah, palau'u juga dikenali sebagai 'Gypsy', kaum nomad berpindah-randah mengikut keperluan. Terima kasih Pak Kassim kerana sudi menjadi perterjemah bahasa dan terpaksa membongkok sepanjang penggambaran lebih sejam, membantu kami menjayakan tugasan ini.

Saya yakin, banyak lagi keluarga palau'u hidup merempat di Sabah. Jika pihak berkuasa tidak melaksanakan tindakan wajar sekaligus mengamalkan sikap 'tunggu dan lihat', imej negara pasti tercemar kerana pada masa sama kita menafikan hak asasi mereka sebagai manusia.

Tiada ulasan: