26 Oktober 2010

Umno peralat JHEOA kawal penempatan Orang Asal?

17 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Mohd Nor Yahya

GUA MUSANG, 25 Okt: Umno kini hanya bergantung sepenuhnya kepada kaum Orang Asal bagi merealisasikan hasrat merampas Dun Galas pada pilihan raya kecil 4 November ini.

Keadaan itu terbukti apabila Umno dikatakan memperalatkan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) bagi mengawal hampir kesemua perkampungan masyarakat terbabit yang terletak di pedalaman Gua Musang.

Penasihat Jentera Pilihan raya Kecil Dun Galas, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, perbuatan Umno memperalatkan JHEOA amat memalukan kerana ia berlaku pada kempen pilihan raya.

“Ini amat memalukan kerana sebelum ini JHEAO dikatakan hanya datang sekali sekala sahaja ke kawasan penempatan Orang Asal,” katanya ketika ditemui semasa mengikuti lawatan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed ke beberapa penempatan di Hau, 60 kilometer dari bandar Gua Musang, semalam.

Turut dilawati kampung rombongan calon PAS iaitu Galang, Gertas, Ladoi dan Eching. Ikut sama pada lawatan itu Pengarah Pilihanraya Kecil Dun Galas, Abdul Fatah Haron.

Kelihatan juga di kawasan itu pos tentera lengkap dengan kenderaan termasuk trak.

Wan Abdul Rahim yang juga anggota parlimen Kota Bharu berkata, hampir 20 pegawai dan kakitangan JHEOA difahamkan berada di Pos Hau sejak dua minggu lepas.

“Tindakan mereka tersebut kemungkinan untuk mengumpul dan menjalankan kempen bagi menawan hati Orang Asal.

“Ini satu tindakan yang boleh menghina masyarakat tersebut kerana sebelum ini seorang pemimpin masyarakat Orang Asal di kawasan tersebut, Pandak Panjang meminta semua parti politik tidak menjadikan penempatan mereka sebagai medan pertembungan parti yang bertanding.

“Namun apa yang kita lihat hari ini kesemua rumah penduduk di situ telah dipasang dua bendera iaitu bendera BN dan Umno. Ini menunjukkan mereka tidak mengendahkan larangan tersebut,” ujar beliau kesal.

Beliau juga berkata kedatangan rombongan PAS hanya sekadar untuk memperkenalkan calon dan bertanya khabar serta tidak membawa sehelai pun bendera parti atau risalah kempen.

Katanya, PAS akur dengan hasrat masyarakat Orang Asal di kawasan tersebut supaya tidak diperalatkan oleh mana-mana parti politik.

Mengenai penyalahgunaan kuasa oleh BN dalam siri kempen di Galas, Wan Abdul Rahim berkata ia satu penyelewengan yang sering berlaku di mana-mana sahaja pilihanraya kecil diadakan.

“Mereka bukan sahaja menggunakan jentera kerajaan, malah pelbagai lagi penyelewengan seperti perbelanjaan dan khidmat kakitangan jabatan semata-mata untuk kepentingan Umno.

“Saya tidak terkejut dengan penggunaan jentera kerajaan oleh BN kerana sebelum ini di Manek Urai di mana lebih 20 jabatan kerajaan persekutuan diperalatkan termasuk Jabatan Pembangunan Persekutan,” katanya.

Beliau juga menyelar tindakan segelintir pegawai dan kakitangan jabatan kerajaan pusat tanpa segan silu sanggup membawa bendera Umno dan BN ditampal di rumah dan musalla di penempatan Orang Asal.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: