11 Januari 2011

Isu SUK: Selangor jangka pindaan gagal tapi mahu ‘dedah’ Umno

6 Safar 1432H MalaysianInsider.

Pakatan Rakyat (PR) tidak meletakkan harapan akan memperoleh majoriti dua pertiga yang diperlukan dalam usahannya meminda perlembagaan negeri, tetapi berpendirian tetap mahu meneruskan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi “mendedahkan sikap” Umno yang sebenarnya.

The Malaysian Insider difahamkan kerajaan negeri sudah pun menjangkakan yang cubaan mereka meminda perlembagaan bagi mengembalikan kuasa pelantikan pegawai-pegawai kanan perkhidmatan negeri kepada Sultan dan Menteri Besar ekoran kemelut pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri baru, tidak akan berjaya.

“Kami menjangkakan bahawa pindaan tidak akan berjaya kerana Umno atau BN (Barisan Nasional) (hanya) mahu merampas kuasa negeri,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

“Bagaimanapun, kami mahu meneruskan usaha ini, jadi rakyat akan tahu bahawa Umno bukan sahaja memperlekehkan kuasa Sultan, tetapi juga memperkecilkan kuasa negeri,” katanya.

Keputusan itu dicapai pada majlis taklimat ringkas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dengan ahli-ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat di Shah Alam, semalam.

Pakatan Rakyat mempunyai 35 wakil di Dewan Undangan Negeri yang memperuntukkan sebanyak 56 kerusi dan memerlukan sokongan dua pertiga untuk meminda perlembagaan.

Sumber itu juga berkata, sidang khas kali ini juga bertujuan mengetepikan dakwaan Umno bahawa Pakatan Rakyat menderhaka pada institusi diraja.

“Yang paling penting perjuangan ini adalah perjuangan bagi rakyat,” kata sumber itu.

“Jika anda meyakinkan rakyat dan mendedahkan BN dalam isu ini, kita boleh justifikasikan apa sahaja yang kita hendak lakukan selepas ini,” kata beliau.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar membayangkan Umno-BN akan menolak pindaan ini.

Semalam, satu sumber memberitahu bahawa Selangor akan memfokus untuk menyelesaikan pertikaian pelantikan Khusrin selepas sidang Dewan Undangan Negeri khas.

“Kami mahu menyelesaikan isu menderhaka terlebih dahulu. Ini langkah pertama,” kata sumber itu lagi.

“Kami tidak mencuba untuk membunuh banyak burung dengan satu batu, atau kami kehilangan kesemua burung. Jadi, kami akan lakukan satu demi satu,” katanya.

Beliau juga berkata, pakar perlembagaan Prof A. Aziz Bari telah menasihatkan kerajaan Selangor agar tidak meminda perlembagaan dengan mengunakan pendekatan kesan retrospektif iaitu menguatkuasannya sebelum pelantikan Khusrin.

Kata sumber, pakar itu berpandangan bahawa jika pendekatan itu digunakan pindaan perlembagaan akan dilihat bertujuan memenuhi kepentingan peribadi atau agenda politik.

Katanya, Selangor juga mempertimbangkan opsyen untuk meminda undang-undang bagi mendefinisikan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sebagai suruhanjaya perkhidmatan negeri.

“Ini hanya memerlukan majoriti mudah,” katanya.

Putrajaya menekankan bahawa terma “suruhanjaya perkhidmatan sewajarnya” yang digariskan di bawah Seksyen 52(1) Undang-undang Tubuh Negeri merujuk kepada SPA, bukannya Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri.

Selangor berhadapan dengan krisis perlembagaan ekoran pelantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada 27 Disember lalu.

Bagaimanapun kerajaan negeri pimpinan Khalid menolak pelantikan Khusrin yang sebelum ini merupakan pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Semalam, satu sumber memberitahu bahawa pindaan ke atas Seksyen 52(1) akan mencerminkan peruntukan sebelum pindaan perlembagaan negeri 1993. [MOD]

Tiada ulasan: