11 Januari 2011

Wei Aik rela letak jawatan

06 Safar 1432H.
Oleh : Mohd Sabri Said.

GEORGETOWN, 11 Jan: Setiausaha Politik Ketua Menteri, Ng Wei Aik rela meletakkan jawatan sekiranya didapati salah mengeluarkan kata-kata 'tutup kedai balik India' kepada pemilik Restoran Nasi Kandar Mohamed Aliyar beberapa hari lalu.

Beliau dalam sidang akhbar semalam menegaskan, akan mengenakan tindakan undang-undang kepada mereka yang menuduhnya tanpa sebarang bukti atau memohon maaf secara terbuka.

Seandainya mereka berbuat demikian, beliau tidak bercadang membawa kes berkenaan sebaliknya melupakan sahaja dengan memberikan tumpuan pada tugasnya sebagai Setiausaha Politik Ketua Menteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Komtar.

"Saya rela dipecat atau letak jawatan jika ada bukti kukuh saya berbuat begitu. Jika tidak, saya akan hantar surat kepada mereka supaya mereka pohon maaf atau dikenakan tindakan.

“Jika mereka memohon maaf dengan sendirinya saya akan melupakan kes berkenaan dan menumpukan kepada kerja politik seperti biasa," terangnya.

Pada kejadian tersebut, beliau hadir kerana ingin memahami kejadian di samping mengenal pasti tindakan yang dikenakan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) setelah sebuah kenderaan terlanggar restoran berkenaan sehingga mengakibatkan kecederaan kepada pekerjanya.

Wei Aik juga terpaksa membuat laporan polis apabila Pengerusi Badan Perhubungan Kongres India Muslim, Faruk Raja Mohammed berkata beliau mengeluarkan kata-kata berbauan perkauman 'tutup kedia balik India' kepada pemilik restoran berkenaan.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: