11 Januari 2011

Laporan The Star tidak benar - Pejabat Presiden

06 Safar 1432H.

KUALA LUMPUR, 11 Jan: Pejabat Presiden PAS menafikan laporan akhbar The Star semalam yang memuatkan berita "PAS won’t bow to pressure from any quarter, says Hadi" kerana ia tidak tepat dengan apa yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurut Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (gambar), laporan berkenaan telah memberikan gambaran yang salah terhadap ucapan Presiden PAS di majlis Sua Kasih anjuran Pejabar Anggota Parlimen Titiwangsa itu.

Semalam, The Star melaporkan, Abdul Hadi tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak dalam melaksanakan agenda negara Islamnya termasuk Pakatan Rakyat.

"Maksud laporan dalam pemberitaan akhbar The Star pada tarikh berkenaan adalah tidak benar dan tersasar dari apa yang diucapkan sama sekali," tegas Samsuri.

Presiden PAS sebenarnya menjelaskan bahawa PAS melihat perkembangan yang sangat positif di kalangan rakan dalam Pakatan Rakyat dalam memahami maksud Islam yang ingin dibawa oleh PAS, di mana ianya adalah dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan yang turut di pertahankan oleh semua pihak dalam Pakatan Rakyat, katanya.

"Perubahan paradigm ini memperkukuhkan lagi kerjasama erat PAS bersama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, bertepatan dengan semangat dalam dasar bersama yang dipersetujui sebagaimana yang dirangkakan dalam Dasar Bersama Muafakat Rakyat," jelas beliau dalam kenyataannya.

Menurut Samsuri, apa yang dipertegaskan oleh Presiden PAS dalam majlis berkenaan adalah rentetan terhadap ucapan Presiden PAS di Konvensyen Pakatan Rakyat yang kedua di Pulau Pinang kira-kira hampir sebulan lalu bahawa PAS akan terus menjadi penjaga amanah bagi memperkasakan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, di mana perubahan yang ingin dilaksanakan adalah semestinya dalam ruang lingkup perlembagaan.

Ia juga, katanya, mengambilkira Islam sebagai agama rasmi negara, dengan
meletakkan Islam berdasarkan kepada maknanya yang sebenar, tanpa menjejaskan amalan penganut agama lain di negara kita ini.

"Inilah yang ingin ditonjolkan oleh PAS, bahawa Islam adalah adil untuk semua," kata Samsury dalam kenyataannya.

Bantah Utusan

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Nasaie bin Ismail pula membantah laporan dalam Utusan Malaysia semalam.

PAS, katanya, sentiasa membuka pintu dialog dan perbincangan dengan semua pihak bagi membincangkan dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Laporan sebuah akhbar berbahasa Melayu pada hari ini yang menggambarkan seolah-olah PAS menutup sebarang perbincangan atau dialog dengan pihak lain adalah tidak benar.

PAS, katanya, kerap menerima kunjungan pemimpin besar negara luar termasuklah di kalangan bukan Islam.

Malah, katanya, wakil-wakil kedutaan asing juga kerap menghadiri pertemuan-pertemuan dengan PAS bagi mengenali perjuangan PAS secara dekat.
Apatah lagi dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, tambah beliau.

"Perkara ini bukan kita lakukan bermusim atas tujuan politik semata-mata, tetapi ia merupakan satu amalan PAS sejak sekian lama selaras dengan tuntutan Islam yang menggalakkan kita berdialog dan berdakwah serta sayang sesama manusia walaupun berlainan agama," tambah beliau.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: