11 Januari 2011

MB S'gor: Sidang tergempar DUN tetap diadakan

06 Safar 1432H.

Kerajaan Selangor akan tetap mengadakan sidang tergempar Dewan Undangan Negeri akhir bulan ini bagi meminda undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, kerajaan negeri sudah melantik Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof Datuk Abdul Aziz Bari, dan peguam, Datuk Param Cumaraswamy, bagi menyediakan draf pindaan Seksyen 52 Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Shah Alam selepas melancarkan Majlis Anti Pemerdagangan Manusia Negeri Selangor (MAPMAS) di Shah Alam hari ini.

Beliau ditanya mengapa kerajaan negeri ingin meneruskan sidang tergempar dewan bagi meminda undang-undang itu sedangkan kerajaan PKR Selangor tidak mempunyai 37 kerusi yang juga undi yang diperlukan daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mendapatkan undi majoriti dua pertiga.

Daripada 56 kerusi DUN, pakatan pembangkang mempunyai 35 kerusi iaitu 14 PKR, 13 DAP, lapan PAS dan seorang ADUN Bebas manakala BN mempunyai 20 kerusi.

Abdul Khalid berkata, Param dan Abdul Aziz telah mencadangkan supaya perkara itu tidak dibincangkan di khalayak ramai sehingga dibincangkan di dalam dewan.

Ditanya sama ada cadangan pindaan itu akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor, beliau berkata akan meneliti perkara itu dan ia bergantung kepada cadangan peguam.

Katanya, sidang dewan itu bertujuan mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam melantik ketiga-tiga pegawai tinggi dalam pentadbiran kerajaan negeri itu.

Tiada ulasan: