08 Februari 2011

Kami dibelenggu keresahan dan kebimbangan, perlukan pembelaan

4 Rabiul Awal 14332H.
PAS Miri/NGO HAK Tanah Sarawak

Miri, 6 Februari 2011- Nasib kira-kira lebih dari 50 keluarga yang mendiami di sekitar Kampung Tudan yang masih tidak mendapat hak tanah milik kekal semakin mendapat perhatian umum dan juga pihak NGO. Semalam, sebuah NGO yang baru ditubuhkan untuk membela nasib rakyat dalam isu tanah telah hadir untuk mendengar sendiri masalah penduduk kampung terbabit, Seketariat Menuntut Hak Tanah Rakyat (HAK) telah mengadakan sesi aduan rakyat di kampung tersebut. Sesi aduan rakyat itu, diadakan bagi tujuan membantu pihak penduduk terbabit dalam membuat permohonan tanah dengan pihak berwajib.

Penduduk di sekitar kampung tersebut, dilaporkan telah diarah berpindah secara paksa rela dari kampung-kampung berhampiran seperti Kampung Canada Hill dan Kampung Lereng Bukit sejak enam tahun yang lepas. Pemindahan mereka yang dikatakan dibuat secara paksa itu tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya termasuk tidak mendapat pampasan yang adil. Tambah mengecewakan lagi, tanah lot penempatan baru yang diberikan kepada mereka di sekitar Kampung Tudan ini masih tidak mendapat status hak milik kekal sehingga sekarang.

Penduduk yang ditemui di majlis aduan rakyat semalam melahirkan rasa kecewa dengan tindakan lembab pihak berkuasa tempatan dalam usaha membantu menyelesaikan isu tanah mereka.

“Pihak berwajib kelihatan tidak bersungguh-sungguh dalam membantu kami. Lebih menghairankan, apabila ada golongan yang berpendapatan tinggi pun mendapat lot tanah di kampung ini, sedangkan pada waktu yang sama, kami golongan yang miskin masih tidak diberi lot tanah kekal” kata seorang ibu tunggal.

Penduduk terbabit juga jelas bimbang dengan khabar angin yang mengatakan bahawa mereka bakal diarah pindah ke kawasan baru tidak lama lagi. “Kami bimbang akan diarah berpindah ke kawasan baru jika hak milik tanah kami masih tidak mendapat status hak milik kekal” ujar seorang lagi penduduk yang ditemui.

Menurut penyelaras Seketariat Menuntut Hak Tanah Rakyat (HAK), saudara Arif yang ditemui semalam, tujuan penubuhan NGO tersebut bukanlah untuk menjanjikan tanah kepada penduduk, namun seketariat ini membantu penduduk terbabit membuat permohonan dan bertindak sebagai orang tengah diantara penduduk terbabit dan pihak berkuasa tempatan.

“Kami bukanlah wakil kerajaan, yang boleh menjanjikan apa-apa. Kami di sini sebagai pembantu dan penghubung antara penduduk terbabit dengan pihak berkuasa tempatan. Yang penting, penduduk bersatu dan berkerjasama dalam menjayakan permohonan tanah mereka” kata Arif yang ditemui selepas majlis semalam.

“Tanah Sarawak adalah milik rakyat Sarawak dan Hak rakyat Sarawak untuk mendapat tanah di negeri ini sepatutnya diberi keutamaan oleh pihak kerajaan. Kami akan mengadakan tindakan susulan dengan mengadakan pertemuan dengan pihak yang terbabit secepat yang mungkin di samping membantu penduduk terbabit membuat permohonan tanah mereka secara sah dan mengikut undang-undang. Kami berikrar akan membantu penduduk terbabit dalam usaha untuk mendapatkan hak tanah mereka” tambah Arif lagi.Isu tanah Sarawak, yang sering kali dibangkitkan oleh rakyat sejak beberapa tahun yang lalu tapi masih belum mempunyai penyelesaian yang sewajarnya sehingga hari ini.

PS: Sumber berita ini diterima dari pihak NGO Tanah Sarawak untuk diberi perhatian oleh pihak yang berkenaan agar sesuatu tindakan boleh diambil dengan segera agar masalah penduduk yang terbabit diberi perhatian dan pembelaan yang sewajarnya oleh pihak yang berkenaan. Pihak Pas hanya menyampaikan saja sumber berita yang diterima dari masyarakat umum untuk diberi perhatian.

Tiada ulasan: