18 Mac 2011

Kerajaan Jamin Malaysia Bebas Kesan Radiasi

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

DENGKIL: Kerajaan memberi jaminan Malaysia bebas daripada kesan pelepasan radioaktif ekoran loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi yang terjejas di Jepun.

Jaminan itu disuarakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili sebagai menjawab segala kebimbangan rakyat di negara ini.

"Orang ramai tidak perlu bimbang dan jangan mempercayai khabar angin atau sms yang disebarkan mengenai perkara itu," katanya kepada pemberita semasa melawat Lembaga Pelesenan Tenaga Atom di sini Khamis.

Beliau berkata berdasarkan model-model trajektori yang dihasilkan melalui mekanisma tindak balas kecemasan persekitaran yang diaktifkan oleh Pertubuhan Meteorologi Sedunia menunjukkan trajektori bahan cemar ini bergerak ke arah tenggara negara Jepun iaitu menghala ke Lautan Pasifik.

"Oleh kerana pelepasan radioaktif adalah rendah, tidak mungkin ia akan sampai ke negara kita," tegasnya.

Ongkili berkata mekanisma pengawalan masuk bahan radioaktif sama ada melalui kargo atau manusia menerusi sistem Permonitoran Portal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Kuching dan Pulau Pinang juga terus ditingkatkan.

Semua penumpang yang tiba di negara ini akan melalui sistem berkenaan dan setakat ini belum ada sebarang penumpang yang terdedah kepada bahan radiasi, katanya.

Beliau mengulas laporan agensi berita antarabangsa hari ini bahawa tiga rakyat Jepun dikesan mempunyai bacaan radiasi melebihi tahap selamat ketika pemeriksaan di Lapangan Terbang Incheon di Korea Selatan.

Katanya pemeriksaan turut dilakukan di Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Klang untuk mengesan sebarang tindakan radio aktif pada barangan yang dibawa masuk dari seluruh negara terutamanya Jepun.

mStar/-

Tiada ulasan: