18 Mac 2011

Mangsa kedua jangkitan virus ILI meninggal dunia

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Impian seorang pelatih Inspektor bergelar raja sehari tahun depan dengan pilihan hati tidak kesampaian selepas dia disahkan meninggal dunia akibat virus Influenza (ILI), awal pagi semalam.

Mohd Redzuan Idris, 26, pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini, menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya kira-kira jam 4.20 pagi, selepas seminggu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bapanya, Idris Daharin, 48, berkata, dia reda dengan pemergian anak sulungnya dan tidak menyalahkan sesiapa atas kematian arwah.

“Memang cita-cita arwah mahu jadi pegawai polis dan dia pernah beritahu saya hasratnya bergelar Ketua Polis Negara satu hari nanti.

“Walaupun hajatnya tidak kesampaian, namun saya bersyukur arwah jejak kaki ke Pulapol. Sebelum ini, dia kerja dengan syarikat minyak, tetapi sanggup berhenti walaupun bergaji tinggi demi capai cita-citanya,” katanya ketika ditemui di HKL, semalam.

Menurutnya, Mohd Redzuan disifatkan sebagai anak yang baik dan bertanggungjawab.

“Saya diberitahu anak kritikal kira-kira jam 12.30 tengah malam dan kami sekeluarga berada di sisi arwah sehingga dia menghembuskan nafas terakhir,” katanya.

Sementara itu, tunang Allahyarham, Nur Hazwani Liyana Hashan, 23, berkata, sebelum Allahyarham Mohd Redzuan mendaftar diri di Pulapol, arwah pernah berpesan supaya menjaga ibu bapa dan adik beradiknya apabila dia tiada.

“Arwah juga pesan supaya saya buat keputusan sendiri dalam segala perkara dan tidak terlalu bergantung kepadanya.

“Kali terakhir, saya lawat arwah di HKL Jumaat lalu, dia kata sudah tidak larat tanggung kesakitan dan saya lihat dia tidak bermaya seperti sebelum ini,” katanya.

Difahamkan, pasangan itu bertunang sejak Jun tahun lalu dan akan berkahwin tahun ini, namun terpaksa ditangguhkan kepada 2012 selepas Mohd Redzuan menerima tawaran di Pulapol.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Hussin Ismail mengucapkan takziah dan meminta keluarga mangsa bersabar.

Menurutnya, setakat tengah hari semalam, 32 pelatih dirawat di HKL termasuk seorang ditempatkan di ICU.

“Jumlah menjalani pengasingan di Pulapol seramai 534 pelatih. Kita sediakan tiga blok untuk pengasingan. Sesiapa yang mempunyai tanda ILI, kita akan terus masukkan dalam pengasingan.

“Kita mengambil beberapa langkah berjaga-jaga mengelak virus ini merebak ke kawasan lain. Punca virus ini masih disiasat,” katanya selepas menziarahi Allahyarham di HKL, semalam.

Hadir sama, Komandan Pulapol, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Mohamed.

Jenazah dikebumikan di Kampung Sungai Buaya, Rawang dan Allahyarham adalah mangsa kedua terkorban akibat virus ILI selepas seorang pelatih berusia 21 tahun dari Kuala Kangsar, Perak, meninggal dunia, 8 Mac lalu.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: