07 Mac 2011

Lelaki maut kena lebih lima tikaman, teman wanita parah

02 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Seorang pengutip besi buruk ditemui mati dengan kesan lebih lima tikaman, manakala teman wanitanya cedera parah selepas diserang sekumpulan lelaki dalam kejadian di sebuah apartmen di Jalan Changkat Thambi Dollah, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa, Ahmad Shariff Shah, 26, dan teman wanitanya didatangi sekumpulan lelaki, sebelum berlaku pergaduhan antara mereka.

Difahamkan, pertikaman lidah itu bertukar ganas apabila, kumpulan lelaki terbabit menikam mangsa di bahagian dada, kepala, belakang dan tangan.

Selain itu, teman wanita mangsa cedera parah di kedua-dua belah tangannya dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, siasatan awal menunjukkan mangsa bukan saja ditikam, tetapi turut dipukul sekumpulan lelaki yang belum dikenal pasti identitinya.

“Berdasarkan kecederaan mangsa, kami percaya dia diserang dengan senjata tumpul dan objek tajam di bahagian kepala dan tangan kiri.

“Mayat mangsa dihantar ke HKL untuk dibedah siasat,” katanya melalui kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS), semalam.

Menurutnya, usaha memburu kumpulan lelaki yang menyerang dan mencederakan mangsa sehingga mati sedang giat dilancarkan.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, abang mangsa, Asriy Ramachandran, 35, berkata, adiknya tidak pernah menceritakan sebarang masalah, sama ada berkaitan hutang atau mempunyai musuh.

“Dia (adik) bekerja dengan saya, tetapi kami tidak tinggal bersama. Dia terlalu pendiam dan saya terkejut mengetahui dia mati dengan cara begini.

“Teman wanitanya cedera parah akibat ditetak di kedua-dua belah tangannya dan masih dirawat di hospital,” katanya.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: