07 Mac 2011

Pembangkang Tetap 'Berbisa' Di Parlimen-MP PR

02 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 7 MAC: Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution berkata barisan pembangkang terus berperanan seperti biasa walaupun tanpa kelibat ketuanya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang digantung selama 6 bulan.

Tambah Saifuddin beliau akan berbincang bersama pimpinan Pakatan Rakyat bagi memutuskan seorang wakil untuk mengetuai slot ucapan perbahasan Ketua Pembangkang bagi sesi persidangan parlimen kali ini.

“Saya sempat mengadakan berbincang dengan Lim Kit Siang dari DAP dalam esok kita akan memutuskan untuk seorang yang mengambil peranan sebagai Ketua Pembangkang dalam ucapan, dia bukanlah ketua pembangkang tetapi slot ucapan ketua pembangkang itu bakal diisi oleh seorang MP daripada pimpinan senior dalam Pakatan Rakyat,” kata Saifuddin yang ditemui di lobi parlimen hari ini.

Turut sama digantung ialah ahli parlimen Subang R. Sivarasa, ahli parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh dan ahli parlimen Bukit Antarabangsa Azmin Ali.

Bagi Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah anwar, ketiadaan Ketua Pembangkang bukannya satu masalah besar sebaliknya merupakan pemangkin semangat untuk terus memperjuangkan suara rakyat di dewan rakyat.

“Ketiadaan Ketua Pembangkang memberi kita lebih banyak semangat untuk berbahas nanti kerana kita mahu untuk membangkitkan isu-isu berkaitan rakyat.

"Isu Aliran Transit Massa (MRT) yang sehingga kini masih belum diselesaikan atau belum diperincikan dengan sepenuhnya, isu pengeluaran wang secara haram yang masih belum dijelaskan dan banyak lagi isu yang masih belum diperjelaskan. Insya-Allah kami sebagai pembangkang yang terus taat setia kepada raja akan terus melaksanakan tugas kami sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming rasa kesal atas ketiadaan Ketua Pembangkang yang pertama kalinya berlaku dalam sejarah persidangan Parlimen
Malaysia.

Beliau turut menyifatkan tindakan ini sebagai tindakan licik Barisan Nasional dan menghalang usaha untuk mengetengahkan suara rakyat di Dewan Rakyat.

“Saya berasa amat sedih dan amat terkejut berikutan ketiadaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada perasmian sidang Parlimen kali ini. Yang jelas ini merupakan satu usaha licik barisan pimpinan Barisan Nasional supaya suara rakyat tidak diketengahkan.

"Bukan sahaja Datuk Seri Anwar, malah Ahli Parlimen Subang, Bukit Gelugor dan Bukit Antarabangsa turut digantung. Maka rakyat pelbagai kaum di kawasan ini hilang suara di Dewan Rakyat yang merupakan institusi perundangan yang paling penting dalam negara kita,” katanya.

Anwar Ibrahim digantung daripada sesi Dewan Rakyat kerana mendedahkan kenyataan One Israel sama dengan 1Malaysia yang mempunyai perkaitan dengan sebuah firma perunding, APCO Worldwide.

Manakala Azmin, Karpal dan Sivarasa digantung atas beberapa kesalahan lain.

Tv Selangor/-

Tiada ulasan: