06 Jun 2011

Keperluan PAS bertanding di kawasan campuran

4 Rejab 1432H. [MOD] -



MIRI, 6 Jun: PAS dan Pakatan Rakyat perlu mempertimbangkan agar parti Islam itu tidak hanya bertanding di kawasan majoriti Islam semata-mata tetapi juga di kawasan campuran.

Yang Dipertua PAS Kawasan Miri, Jofri Jaraiee berkata,  PAS sepatutnya diberi peluang bertanding dalam kawasan yang berbilang kaum dan jangan hanya bertumpu di kawasan Melayu Islam sahaja. 

"Rakan dalam Pakatan seharusnya sama-sama memberi sokongan dan kerjasama dalam usaha ini lebih-lebih lagi dalam negeri Sarawak yang masyarakatnya berbilang kaum. 

"Kita mahu membuktikan yang Pakatan Rakyat ini betul-betul Pakatan yang bukan perkauman dan ekstrimis seperti dakwaan BN," kata Jofri dalam satu kenyataannya.

Sebelum ini, PAS Miri dalam muktamarnya meluluskan usul agar Parlimen Miri, Sarawak ditandingi oleh PAS.

(Gambar fail: PAS Miri bersama-sama memberikan sokongan penuh kepada calon PKR Senadin dalam PRN Sarawak lalu)

Miri adalah kawasan yang paling kuat PAS di Sarawak setelah sekian lama bertapak di negeri itu.

Dalam pilihan raya negeri baru-baru ini, pada mulanya PAS diperuntukkan kerusi Dun Senadin, Miri namun ia berubah di saat akhir apabila pertukaran kerusi dibuat.

DAP telah menang dua kerusi di Parlimen Miri manakala PKR hanya kalah 57 undi di Dun Senadin.

Dalam pilihanraya umum 2008 PAS hanya bertanding satu kerusi iaitu Batang Lupar namun kalah.

Untuk pilihan raya umum akan datang, PAS Miri memohon supaya PAS bertanding di Parlimen itu.

Bagi Haji Jofri, PAS sepatutnya menggunakan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sebagai jambatan atau perhubungan antara kaum. PAS juga perlu membuktikan bahawasanya PAS boleh diterima oleh semua golongan tanpa mengira kaum, agama dan juga fahaman politik

PAS boleh mengembangkan pengaruhnya ke semua kawasan bandar dan luar bandar sekiranya peluang yang ada digunakan sebaik mungkin seperti memberi penerangan kepada orang Islam dan bukan Islam tentang keadilan dan kebaikan dalam Islam yang mereka perolehi sekiranya diberi peluang memerintah Malaysia.

"PAS dan Pakatan Rakyat harus berhati-hati dengan propaganda Umno/BN, mereka berusaha untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat agar usaha kita untuk menawan Putrajaya akan menemui kegagalan," katanya.

Bagi beliau, Pakatan Rakyat harus belajar dari kesilapan dan kegagalan Pakatan Rakyat Sarawak semasa pilihanraya umum negeri Sarawak yang lalu dimana usaha BN berjaya menggagalkan usaha Pakatan menawan Sarawak dengan menghasut dan mengadu domba Pakatan Rakyat seperti kononnya salah sebuah parti dalam komponan Pakatan Rakyat ditaja oleh BN. 

"Apabila  sesetengah daripada kita terpengaruh dengan hasutan BN maka berlakulah perebutan kerusi dan akhirnya Pakatan Rakyat Sarawak gagal untuk menawan Sarawak disebabkan mendengar atau terpengaruh dengan hasutan dan propaganda BN.

"Sekarang mereka berusaha lagi untuk menghancurkan perpaduan Pakatan Rakyat dengan mengadu domba parti-parti dalam Pakatan," katanya.

Tiada ulasan: