06 Jun 2011

Jaringan Postiga benam Norway

4 Rejab 1432H. [MOD] -



LISBON: Penyerang Portugal, Helder Postiga meledak gol awal pada babak kedua untuk menghadiahkan kemenangan 1-0 di gelanggang sendiri ke atas Norway semalam bagi membolehkan pasukannya menduduki tangga teratas Kumpulan H dalam saingan kelayakan Euro 2012 menerusi perbezaan gol.

Sepakan Postiga pada minit ke-53 selepas mendapat hantaran Nani membantu Portugal mengatasi Denmark yang menewaskan Iceland 2-0 dan Norway dengan ketiga-tiga pasukan teratas itu mengumpul 10 mata dalam lima perlawanan.

“Ia perlawanan yang bagus walaupun ia bukanlah yang terbaik. Kemenangan kami tidak boleh dipersoalkan,” kata jurulatih Portugal, Paulo Bento.

Norway melakukan dua percubaan dalam lima minit pertama namun Portugal kembali mengawal permainan dengan ancaman pertama dilancarkan Raul Meireles pada minit ke-7 sebelum Cristiano Ronaldo memaksa Rune Jarstein melayangkan badan menyelamatkan sepakan percumanya.

Pasukan Scandinavia selepas itu terus bergelut tapi masih berjaya melakukan percubaan ke pintu gol Portugal di minit ke-16 apabila Bjorn Riise membuka ruang untuk Erik Huseklepp melakukan rembatan bagaimanapun berjaya ditepis keluar Eduardo.

“Sejak permainan bermula, kami mahu mengawal permainan dan kami berjaya melakukannya walaupun kami gagal mengawasi serangan balas pantas pihak lawan,” kata Bento.

Dengan aksi lincah Ronaldo yang bergandingan bersama Fabio Coentrao di bahagian kiri, Portugal berjaya menguasai permainan namun serangan mereka selalu tersekat kerana penyerang, Postiga dikawal rapi dalam kotak penalti.

Postiga bagaimanapun berjaya mencari ruang untuk melepaskan rembatan sehingga menyebabkan Jarstein terpaksa bertindak pantas menyelamatkan keadaan sebelum permainan tamat manakala percubaan Nani selepas itu juga gagal.

Gandingan kedua-dua pemain itu akhirnya berhasil apabila Nani yang bertindak di bahagian sayap kanan membuat hantaran lintang untuk Postiga menolak masuk bola ke dalam gawang.

“Hantaran lintang rendah ke depan gawang adalah gerakan yang kami selalu lakukan ketika berlatih,” kata Postiga.

Tiada ulasan: