04 Julai 2011

Asri: Terima tawaran PM sedia stadium, adakan Minggu Bersih

2 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 4 Julai — Sambil meminta sekretariat Bersih 2.0 menerima tawaran perdana menteri stadium sebagai lokasi perhimpunan, bekas mufti Perlis mengesyorkan penganjur menggantikan program 9 Julai dengan kempen Minggu Bersih supaya efektif.

“Bersih mungkin boleh ganti dengan melancarkan Minggu Bersih dengan meminta rakyat mengibarkan bendera Malaysia dalam minggu tersebut atau memakai petanda kuning atau selainnya-tidak semestinya ditulis Bersih,” kata Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Putrajaya telah memutuskan Bersih 2.0 sebagai satu pertubuhan haram sejak 1 Julai.

Asri (gambar) berkata kempen Minggu Bersih akan membolehkan lebih ramai rakyat yang bersetuju dapat menyatakan persetujuan mereka dengan tuntutan “pilihan raya yang adil”.

“Juga mungkin mereka yang antipembaziran dan kenaikan harga barang boleh sertai.

“Lebih ramai dapat meluahkan perasaan dengan cara yang lebih selamat seperti bendera di kereta, rumah, baju dan sebagainya. Seluruh negara akan meriah,” katanya.

Ahli ademik ini menambah, “jika buat perhimpunan dan polis larang hadir, lalu jumlah yang diharapkan tidak diperoleh, maka itu ‘defeat the purpose’.”

Asri menambah pihak sekretariat Bersih 2.0 menerima sahaja tawaran Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan perhimpunan di stadium dengan meminta wakil Yang di-Pertuan Agong hadir menerima surat bantahan tersebut dan boleh berceramah lagi di stadium tersebut.

“Berikan syarat bahawa jika melimpah, orang ramai boleh duduk di luar stadium tanpa gangguan,” katanya.

malaysianinsider/-




Tiada ulasan: