04 Julai 2011

Pemimpin PR bantah 6 ahli PSM ditahan


2 Syaaban 1432H. [MOD] -

IPOH – Barisan kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) membantah tindakan menahan enam ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) di bawah Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat (Ketenteraman dan Pencegahan Jenayah) 1969 sebaik sahaja mereka dibebaskan Jumaat lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V Sivakumar berkata, penggunaan Ordinan Darurat terhadap enam ahli PSM itu dianggap keterlaluan dan menunjukkan Barisan Nasional (BN) menyalahgunakannya demi kepentingan politik mereka.

Menurutnya, Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar bersama lima lagi ahli PSM lain ditahan semula selepas mereka dibebaskan apabila tempoh reman tamat 2 Julai lalu.

“Sebelum ini kumpulan berkenaan ditahan mengikut Seksyen 122 Kanun Keseksaan atas dakwaan cuba melancarkan peperangan terhadap Yang Dipertuan Agong,” katanya ketika ditemui pada sidang media, di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan polis menahan enam ahli PSM itu di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat menunjukkan bahawa kerajaan BN telah menggunakan kuasa polis bagi mencapai objektif mereka.

“Di Perak sahaja terdapat tiga insiden berlaku menunjukkan BN menggunakan kuasa pihak polis untuk menahan individu yang dikatakan ada kaitan dengan Perhimpunan Bersih 2.0 yang dijadualkan 9 Julai ini,” katanya.

Terbaru ialah kejadian di Pasar Batu Gajah apabila tiga ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditahan pada jam lebih kurang 9.20 pagi ketika sedang minum.

Sementara itu, ADUN Pasir Panjang, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin berkata, semua pimpinan PR bertegas bahawa tindakan kerajaan yang mengenakan Ordinan Darurat terhadap enam ahli PSM yang ditahan adalah tidak wajar.

“PSM adalah satu pertubuhan yang berdaftar dan PR sentiasa akan membela mereka yang dianiaya atau dizalimi.

“Selain itu, kami juga mohon agar Ordinan Darurat ini dimansuhkan kerana ia telah disalahgunakan, selain meminta polis membebaskan enam ahli PSM yang ditahan termasuk mereka yang di tahan di Pulau Pinang,” katanya. SH/-

Tiada ulasan: