23 November 2011

PRU13: BN bukan lagi pilihan rakyat Sarawak

27 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Nov: Kemelut yang sedang berlaku di dalam parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak terutama terhadap pucuk piminan di dalam Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) semakin jelas berlaku.

“Ini menunjukkan bahawa BN Sarawak sedang berhadapan masalah kepimpinan yang amat ketara,” kata ketua Pemuda PAS negeri, Mohammad Arifiriazul.

Katanya, sejak beberapa minggu lepas jelas terpampang di dada akhbar tempatan berita-berita berkenaan masalah kepimpinan dalam SUPP dan SPDP terutama sekali berkenaan kemelut parti-parti berkenaan dalam pemilihan parti tersebut.

“Perkara ini lebih jelas berlaku di dalam SUPP dimana penyandang presiden partinya tewas dalam pilihanraya dewan undangan negeri Sarawak yang lepas dan terpaksa mengundur diri dalam pemilihan parti akan datang,” ujarnya yang juga Ketua Penerangan PAS Miri dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, kemelut yang melanda parti-parti komponen BN Sarawak itu merupakan bebanan tambahan terhadap BN Sarawak yang sebelum ini telah terlepas 16 kerusi dewan undangan negeri dalam pilihan raya negeri pada 16 April lepas.

Ini, ujarnya menyebabkan Pengerusi BN negeri yang juga merupakan Ketua Menteri Sarawak terpaksa campur tangan dalam menyelesaikan kemelut itu namun masih belum dapat meleraikan permalahan ini.

“Atau adakah sebenarnya kepimpinan Ketua Menteri sendiri sudah tidak diterima oleh pucuk kepimpinan parti-parti komponen BN Sarawak?” soalnya.

Menurutnya, permasalahan yang sedang berlaku di dalam parti-parti komponen BN Sarawak jelas menggambarkan bahawa BN Sarawak telah ketandusan kepimpinan yang mampu membawa Sarawak kepada negeri yang lebih baik.

Justeru, tambahnya, telah tiba masanya bagi rakyat Sarawak membuat pertimbangan untuk memilih selain daripada BN dalam pilihan raya khususnya dalam pilihan raya umum yang ke-13 akan datang.

"Dan momentum itu perlu diteruskan bagi membuat perubahan besar dalam kerajaan negeri Sarawak dengan memilih kerajaan negeri baru dalam pilihanraya negeri akan datang," katanya lagi.


Harakah Daily

Tiada ulasan: