23 November 2011

Akta Perhimpunan sahkan Bersih 3 perlu disegera

27 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Nov: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan berkata langkah kerajaan BN membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Perhimpunan Aman menguatkan lagi hujah bahawa himpunan Bersih 3 perlu diadakan segera.

Menurutnya, tindakan kerajaan itu bukan sahaja cuba mencengkam hak rakyat untuk berhimpun, malah lebih teruk dari itu kerajaan sebenarnya sedang cuba menipu rakyat dengan nama 'transformasi' yang dilaungakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Jelas sekali bahawa rakyat sedang dipermainkan oleh BN yang berselindung di sebalik nama transformasi.

"Langkah kerajaan ini makin menjelaskan lagi bahawa Bersih 3 perlu dirialisasikan segera," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas bacaan pertama RUU Perhimpunan Aman yang dibentang di Dewan Rakyat semalam oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz.

Antara lain, kandungan penting undang-undang yang dicadangkan itu termasuklah melarang protes jalanan.

Selain itu, undang-undang itu juga bakal membenarkan polis mendenda penganjur sehingga RM10,000 sekiranya tiada notis awal iaitu 30 hari sebelum himpunan.

Bagi mereka yang ditangkap menyertai himpunan itu pula, polis dibenar mendenda mereka sehingga RM20,000.

"Kerajaan perlu belajar apa yang sedang berlaku di Mesir. Rakyat mereka bangkit membantah tindakan pemerintah tentera yang tidak konsisten dan menekan mereka.

"Kalau kerajaan Umno BN juga tak konsisten dan mencengkam rakyat, tak mustahil mereka juga bakal berdepan kebangkitan rakyat," katanya.

Mengulas lanjut, Nasruddin berkata apa yang memalukan, nama rang undang-undang itu sendiri sudah bercanggah dengan kandungannya.

Katanya, walaupun namanya RUU Perhimpunan Aman, tetapi kandungannya secara keseluruhan cuba menghalang sebarang perhimpunan rakyat yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

"Kalau RUU ini untuk halang Bersih 3, itu perhitungan silap.


"Rakyat moden tidak boleh dikongkong dengan langkah sebegitu," katanya.

Harakah Daily

1 ulasan:

Awanama berkata...

Itulah perbuatan kerajaan ZALIM lagi PENGECUT