23 November 2011

Mesir huru-hara

27 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KAHERAH - Mesir bakal berhadapan kekacauan politik buat kali kedua di negara itu dalam tempoh sembilan bulan, apabila penunjuk perasaan mula merancang protes besar-besaran, minggu ini, bagi menamatkan peme­rintahan tentera yang didakwa cuba merampas kuasa.


Tidak cukup dengan itu, seluruh barisan Kabinet Mesir turut memberikan surat perletakan jawatan kepada Majlis Tertinggi Tentera sekali gus menandakan ketidakstabilan politik berpanjangan akan berlaku di negara dengan penduduk paling ramai di Timur Tengah itu selepas penggulingan Presiden Hosni Mubarak.

Protes besar-besaran terbaru bermula sejak minggu lalu dengan lebih 20,000 penunjuk perasaan memenuhi Dataran Tahrir di Kaherah selepas pembunuhan 33 orang oleh pihak berkuasa, Sabtu lalu.

“Rakyat mahu Tantawi berundur!” adalah antara laungan penunjuk perasaan yang merujuk kepada ketua majlis tentera, Mohamed Hussein Tantawi iaitu bekas menteri pertahanan yang berkhidmat selama 20 tahun di bawah Mubarak.

Sehingga kini, majlis tentera belum memberi keputusan sama ada akan menerima perletakan jawatan Kabinet yang dibuat hanya beberapa hari sebelum pilihan raya pertama bermula, Isnin depan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: