23 November 2011

Akta Perhimpunan menekan rakyat, lebih zalim

27 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 23 Nov: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin kesal dengan tindakan kerajaan memperkenalkan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menyifatkan undang-undang baru itu secara jelas bertentangan dengan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kononnya untuk memberikan ruang dan kebebasan dalam menjalankan perhimpunan dan demonstrasi aman.

"Langkah kerajaan membentangkan rang undang-undang ini tidak lebih sekadar gimik politik murahan dan satu lagi reformasi bersifat kosmetik seumpama yang berlaku terhadap pengumuman beliau untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada bulan September yang lalu.

"Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya dan seramai 13 individu telah ditahan di Sabah di bawah akta tersebut baru-baru ini.

"AMK melihat bahawa undang-undang yang diperkenalkan ini jelas bersifat lebih menekan dan lebih zalim berbanding peruntukan Seksyen 27 di bawah Akta Polis 1967 serta mencabuli hak kebebasan berhimpun," katanya.

Menurutnya lagi, undang-undang baru itu, pihak polis akan diberikan kuasa yang lebih luas dan berhak menahan individu yang menyertai mana-mana perhimpunan.

"Pihak polis juga, menerusi Seksyen 15(2)(h) diberikan kuasa besar dalam membuat keputusan melibatkan tarikh, masa, tempoh dan lokasi perhimpunan serta kaedah berhimpun dan bagi individu yang melanggar mana-mana sekatan dan syarat yang ditetapkan oleh pihak polis boleh didenda tidak melebihi RM10,000.

"Justeru AMK melihat bahawa langkah terkini kerajaan dalam membentangkan rang undang-undang ini adalah bertujuan untuk terus menyekat dan menghalang kebebasan rakyat dari berekspresi dan menyatakan protes," sambungnya lagi

Beliau juga bimbang undang-undang ini kelak bakal disalahguna oleh kerajaan yang didukung oleh Umno Barisan Nasional dalam usaha mereka untuk mengekang dan menyekat aktiviti politik parti-parti pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat serta menghalang majlis-majlis ceramah penerangan dengan justifikasi yang tidak munasabah berasaskan peruntukan di dalam undang-undang tersebut.

Harakah Daily

Tiada ulasan: