23 November 2011

Bapa tunggal juga perlu dibantu

27 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Nov: Selain memberikan bantuan kepada ibu-ibu tunggal dan mereka yang memerlukan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, disaran turut menyediakan bantuan kebajikan kepada golongan bapa tunggal.

Ahli Parliimen Pendang, Dr Mohd Hayati Othman berkata, saranan tersebut amat perlu diberikan pertimbangan memandangkan kebanyakan bapa tunggal juga mengalami kesempitan dalam hidup.

Menurut beliau, realiti itu terutamanya berlaku bagi bapa-bapa tunggal miskin yang bekerja sebagai penoreh getah dan seumpamanya.

Katanya, disebabkan kemiskinan, sesetengah bapa tunggal ada yang terpaksa membawa anak-anaknya ke kebun getah untuk bersama-sama dengannya ketika hendak menoreh.

"Ini antaranya ada berlaku di kalangan bapa-bapa tunggal di kawasan saya," katanya ketika bangun mencelah pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 peringkat jawatankuasa oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanta, Keluarga dan Masyarakat pada persidangan Dewan Rakyat, petang semalam.

Dalam melaksanakan tanggungjawabnya, menurut beliau, pihak kementerian terbabit tidak seharusnya hanya memberikan perhatian kepada golongan wanita sahaja khususnya berhubung dengan mereka yang bertitle tunggal.

Sebaliknya, perhatian sewajarnya turut diperlukan oleh bapa-bapa tunggal, terutama gollongan miskin, bagi membolehkan mereka meneruskan hidup dengan sempurna, dengan kadar bantuan yang berpatutan dan sesuai dengan keperluan mereka.

Selain itu, beliau turut mengingatkan pihak kementerian terbabit agar tidak terus mengambil tindakan memotong bantuan kebajikan yang telah diberikan kepada para penerima setelah anak-anak mereka besar dan bekerja.

"Anak-anak bila mereka dah besar memanglah bekerja. Tapi tak patutlah bila anak mereka dah bekerja terus dipotong bantuan kebajikan mereka.

"Walaupun anak meteka dah bekerja, bukan semua anak-anak mereka itu mempunyai gaji besar, malah mereka tetap masih memerlukan bantuan kebajikan dari kementerian," katanya.

Beliau juga berharap agar pihak kementerian memberikan pertimbangan kepada golongan kurang upaya (OKU) atau golongan kelainan upaya, memandangkan sesetengah daripada mereka mengalami pelbagai kerumitan dalam hidup, termasuk untuk mendapatkan lesen memandu.

"Begitu juga dengan bantuan kebajikan PDK. Mereka juga perlu diberikan perhatian yang sewajarnya oleh pihak kementerian," ujar beliau.

Harakah Daily

Tiada ulasan: