25 November 2011

'Hudud politik': PAS selar kenyataan TKM S'wak

29 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

PAS Sarawak menyelar kenyataan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkaitan hukum hudud yang didakwanya secara "terang-terangan menghina" dan mempermainkannya.

bn candidates announcement pbb hq 030411 alfred jabu"Pemuda PAS Sarawak menyarankan Alfred Jabu supaya berhenti memberi kenyataan mengenai hudud, kerana beliau tidak mempunyai maklumat dan penerangan yang cukup mendalam mengenai hukum hudud ini," kata ketua Dewan Pemuda PAS Sarawak, Mohammad Arifiriazul Paijo.

"Pemuda PAS Sarawak menyarankan Alfred supaya lebih sensitif terhadap isu-isu keagamaan seperti ini dan Pemuda PAS Sarawak mengingatkan rakyat Sarawak tidak mungkin dapat menerima pemimpin yang tidak sensitif seperti beliau," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Mohammad Arifiriazul menuntut Alfred Jabu (kanan) membuat kenyataan terbuka memohon maaf kepada semua umat Islam serta menarik balik ucapan itu.

Dalam kenyataannya hari ini, Mohammad Arifiriazul mempertikaikan tindakan Alfred Jabu menuduh Pakatan Rakyat mengamalkan politik kotor dan agresif, sedangkan pada waktu yang sama, didakwa mempermainkan hukum yang termaktub dalam Al-Quran dan sebahagian daripada perundangan Islam.

"Secara nyata, Alfred Jabulah yang mengamalkan politik kotor dan tidak sensitif di Sarawak, bukannya Pakatan," katanya lagi.

Segi tiga 'politik hudud'

Dewan itu juga menyatakan kekesalannya terhadap ADUN Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan ketua menteri yang beragama Islam tetapi tidak menegur kenyataan "sensitif" itu.

Akhbar tempatan The Borneo Post semalam melaporkan Alfred Jabu menyifatkan Pakatan bersama-sama terbabit dalam memainkan segi tiga "politik hudud".

Menurut menteri pembangunan luar bandar itu, ia dilihat apabila PKR mahukan hukum hudud sementara sebagai balasan DAP mahu mengenakan "politik hudud" terhadap PKR dan PAS.

“Rakyat sendiri telah menyaksikan situasi menarik ini. Di Sarawak sejurus sahaja pilihan raya negeri (PRN) selesai pada April lalu, DAP telah mengambil sekurang-kurangnya dua calon PKR yang bertanding pada PRN,” beliau dipetik sebagai berkata ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan DUN di Kuching.

Sebagai contoh, katanya, calon PKR di Meluan dan Bukit Begunan yang tewas diambil oleh DAP.

Bukan itu sahaja katanya, pencalonan bagi jawatan senator yang dicadangkan oleh Wong Ho Leng (DAP-Bukit Assek) kepada ahli DAP yang baharu dan bekas calon PKR di Meluan (John Brian Anthony) turut ditolak dengan menyaksikan calon BN Lihan Jok mendapat jawatan itu.

“Ramai di kalangan rakyat Sarawak kini menyatakan bahawa ia merupakan cara yang kejam oleh DAP apabila melaksanakan politik hududnya dalam politik PKR, yang mereka anggap sebagai rakan dalam Pakatan," beliau dipetik sebagai berkata.

malaysiakini/-

Tiada ulasan: