25 November 2011

Pemuida PAS Sarawak tuntut Alfred Jabu mohon maaf dan tarik balik kenyataan

29 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
KENYATAAN MEDIA RASMI PEMUDA PAS SARAWAK

1. Merujuk ucapan Timb Ketua Menteri, Alfred Jabu ketika persidangan DUN Sarawak semalam, Pemuda PAS Sarawak kesal dengan sikap Alfred Jabu yang tidak sensitif terhadap umat Islam dengan mengaitkan Hudud dengan ‘politik kotor’ dan ‘keji’. Alfred Jabu menggunakan istilah ‘hudud politik’ yang secara terang-terangan menghina dan mempermainkan hudud.

2. Alfred Jabu menuduh Pakatan Rakyat mengamalkan politik kotor dan aggresif, sedangkan pada waktu yang sama, menghina dan mempermainkan hukum hudud yang termaktub dalam Al-Quran dan sebahagian daripada perundangan Islam. Secara nyata, Alfred Jabulah yang mengamalkan politik kotor dan tidak sensitif di Sarawak, bukannya Pakatan Rakyat. Alfred menggambarkan Pakatan Rakyat datang ke Sarawak, membawa budaya politik pelik. Alfred lupa bahawa Pakatan Rakyat Sarawak merupakan terdiri daripada rakyat Sarawak yang bosan dengan pemerintahan BN selama ini, dan bukannya orang luar.

3. Pemuda PAS Sarawak menyarankan Alfred Jabu supaya berhenti memberi kenyataan mengenai hudud, kerana beliau tidak mempunyai maklumat dan penerangan yang cukup mendalam mengenai hukum hudud ini. Pemuda PAS Sarawak menyarankan Alfred supaya lebih sensitif terhadap isu-isu keagamaan seperti ini dan Pemuda PAS Sarawak mengingatkan rakyat Sarawak tidak mungkin dapat menerima pemimpin yang tidak sensitif seperti beliau.

4. Pemuda PAS Sarawak kesal dengan ADUN-ADUN PBB yang beragama Islam terutama Ketua Menteri sendiri yang tidak bangkit menegur kenyataan bodoh Alfred Jabu ini. ADUN-ADUN PBB yang beragama Islam sepatutnya membela agama Islam dan menegur Alfred yang tidak sensitif terhadap agama Islam. Pemuda Sarawak menyeru ADUN-ADUN PBB yang penakut ini, untuk memberi ruang kepada PAS jikalau tidak mampu membela agama sendiri dalam dewan undangan negeri.

5. Pemuda PAS Sarawak menuntut Alfred Jabu membuat kenyataan terbuka memohon maaf kepada semua umat Islam serta menarik balik ucapan beliau itu.

MOHAMMAD ARIFIRIAZUL
(KETUA PEMUDA PAS SARAWAK)

Tiada ulasan: