16 November 2011

PAS Sabah anjur Wacana Rakyat 19 Nov

20 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KOTA KINABALU, 16 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) akan menganjurkan satu wacana berkonsep perundangan bagi mengetengahkan isu berkaitan perundangan Sabah dan Persekutuan.

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata wacana tersebut yang julung kali diadakan ini bakal menyaksikan tumpuan ramai terutama rakyat Sabah dalam mengetahui perkara berbangkit sama ada berkaitan perkara 20 mahupun institusi perlembagaan negara.

Menurutnya, wacana bertajuk “Perkara 20 dan Perlembagaan Malaysia” tersebut akan diadakan pada 19 November di Likas Square, Kota Kinabalu ini bakal menyaksikan penglibatan aktif Prof. Dr. Abdul Aziz Bari yang juga merupakan Pakar Perlembagaan dan Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Ujarnya, penyertaan tersebut terbuka kepada semua warga dengan bayaran pendaftaran adalah sebanyak RM10 setiap seorang.

Katanya, pengetahuan rakyat umum kepada aspek berkaitan perlembagaan dan enakmen negeri Sabah adalah perlu bagi memastikan setiap warga Sabah mengetahui hak dan kebajikan yang perlu dipertahankan.

“Sudah sampai masanya rakyat Sabah memahami dengan jelas apa sebenarnya perkara 20 dan apakah disebalik pembentukkan perkara berkenaan.

“Kita ingin mengajak rakyat bagi sama-sama untuk ‘celik’ undang-undang terutama berkait dengan negeri Sabah ini,” katanya semasa di temui di pejabat Pemuda PAS di sini.

Menurut Lahirul lagi, perkembangan positif untuk rakyat mengetahui mengenai perkaitan undang-undang juga mesti dipupuk dan disemai memandangkan peredaran perubahan zaman telah berlaku.

“Sudah 54 tahun negara ini mencapai kemerdekaan. Sudah banyak revolusi sistem, baik pendidikan, ekonomi, budaya dan sebagainya. Hari ini, kita ingin turut sama melihat rakyat sama-sama boleh bercakap mengenai undang-undang dan hak.

“Kita sudah tidak boleh untuk duduk sekadar hanya menerima sahaja. Rakyat boleh menyuarakan pandangan dan perbezaan pandangan bakal dilihat sebagai satu persaingan dan perkembangan positif,” ujarnya.

Beliau turut mengajak rakyat seluruhnya untuk turut sama menjayakan program tersebut.

Hal ini katanya, peluang berbicara mengenainya tidak banyak yang menganjurkan, dan PAS merupakan agen utama membawa masyarakat ke arah perubahan.

“Pihak pemuda PAS mengajak seluruh rakyat yang berkelapangan untuk sama-sama mengikuti program ini,” katanya.

Orang ramai yang berminat untuk mengikuti wacana berkenaan, bolehlah merujuk terus kepada Salman Muhammad Amin di talian 019-8963075 atau 088-430832.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: