16 November 2011

PAS Sabah tuntut aktivis Islam dibebaskan

20 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 Nov: PAS Sabah menuntut supaya semua tahanan aktivis Islam di Tawau dibebaskan serta merta tanpa syarat.

Pesuruhjayanya, Mohd Aminuddin Aling berkata, masyarakat seluruh Tawau gempar dengan berita penangkapan 10 pendakwah dan aktivis Islam di daerah itu pada hari Isnin, 14 November lepas.

“PAS Sabah mohon supaya pihak polis mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan kedudukan sebenar supaya berita ini tidak disalah tafsir dan akan menimbulkan pelbagai sangkaan buruk terhadap setiap orang yang ditangkap,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya, tangkapan pendakwah dan aktivis Islam dengan perbagai profesion tersebut dilakukan oleh pegawai-pegawai polis dari Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi Counter Terorism) Bukit Aman diketuai oleh DSP Azman Omar.

Meenurutnya, keluarga atau waris orang yang ditangkap dimaklumkan sehari kemudian yang mereka ditangkap di bawah Seksyen 73(1) AKDN 1960 (ISA).

Katanya, penangkapan tanpa waran, tanpa notis atau dimaklumkan dilakukan di hadapan isteri dan anak-anak terlalu tragis.

Beliau menambah, situasi itu dilakukan oleh pihak polis yang lengkap bersenjata dengan cara yang kasar bagai satu rompakan dan dirampas beberapa komputer riba (laptop) dan sejumlah wang tunai.

“Baru sahaja Perdana Menteri menghebahkan dengan gahnya bahawa ISA akan dimansuhkan kini kelegaan rakyat dikejutkan dengan tangkapan ISA.

“Di manakah kesungguhan Perdana Menteri?

“Jujurkah beliau semasa membuat kenyataan pamansuhan ISA?” tanya beliau

Kini, katanya ISA yang ‘draconian’ (mengerikan) itu menjelma kembali.

Menurutnya lagi, antara yang ditangkap adalah pendakwah yang disegani di seluruh Tawau.

“Apakah tangkapan ini menunjukkan sikap ‘bengis’ kerajaan Umno BN terhadap kerja-kerja Islam?” soalnya lagi.

Menurutnya, masyarakat yang sakit moral kini sangat memerlukan pendakwah, jadi kenapa mereka ditangkap.

Anehnya, kata beliau pembawa punca keruntuhan akhlak dan moral dibiar berleluasa tanpa tindakan yang proaktif.

“PAS Sabah sangat dukacita dan kesal terhadap tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan yang akan menyebabkan porak-poranda kepada seluruh keluarga orang-orang yang ditahan dan sekali gus memberi kesan atau impak yang negatif terhadap masa hadapan anak-anak mereka,” ujarnya.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: