16 November 2011

Usul saya untuk kepentingan rakyat - Fuziah

20 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUANTAN, 16 Nov: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, kecewa dan terkejut usulnya untuk memotong gaji Menteri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di parlimen semalam ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat.

Katanya, perkara yang diutarakannya melibatkan kepentingan rakyat umum dan menjadi tanggungjawab beliau sebagai wakil rakyat yang diamanahkan oleh pengundi untuk menyuarakan perkara tersebut.

“Usul yang saya kemukakan sepatutnya dibahas semalam tetapi ditolak oleh speaker. Usul potong gaji di bawah Peraturan mesyuarat 66(9) setahu saya tidak pernah di tolak dalam sejarah Parlimen.

“Saya akan tunggu perbahasan peringkat jawatankuasa kementerian MOSTI nanti untuk minta penjelasan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya di sini.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata usul beliau ialah supaya mesyuarat ditangguhkan untuk membahas Rang Undang-undang Perbekalan 2012 bagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

“Bahawa perbelanjaan diluluskan dengan syarat dikurangkan sebanyak RM14,917.20 daripada perkara Maksud Bekalan atau Pembangunan 30 – Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi Kod Emolumen 10000 iaitu dengan memotong gaji Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sebanyak RM14,907.20.

“Juga perlu dipotong ialah gaji Ketua Pengarah AELB dalam Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sebanyak RM10. Menjadikan jumlah yang perlu dikurangkan sebanyak RM14,917.20,” tambahnya.

Menjelaskan lebih lanjut, Fuziah berkata MOSTI dan AELB (Lembaga Perlesenan Tenaga Atom) gagal menasihati MIDA (Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia) dan MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) berkenaan risiko serta bahaya daripada pelaburan yang di bawa oleh Lynas Corp sedangkan AELB mempunyai cukup maklum bahawa sisa buangan dari LAMP merupakan sisa buangan radioaktif.

Tambahnya, AELB dan MOSTI dalam menjawab soalan-soalan sehingga kini masih lagi menyatakan bahawa sisa buangan dari LAMP (prosesan tanah jarang) ialah sisa buangan industri yang mengandungi NORM. Sedangkan sekiranya Lynas mendirikan LAMP di Australia, mereka perlu hantar balik sisa dari loji ke Mount Weld, dimana bijih REO di lombong, menandakan bagaimana sisa radioaktif harus diselenggara.

“Sebagai sebuah agensi di bawah MOSTI, AELB tidak kompeten untuk menjadi regulator projek LAMP. Mereka dari awal mengatakan projek LAMP selamat dan telah gagal mengenalpasti apa masalah yang mungkin timbul dari LAMP.

“Ini menyebabkan IAEA terpaksa datang ke Malaysia untuk memberi saranan mereka, itupun selepas didesak oleh rakyat Kuantan. AELB juga gagal sebagai regulator untuk melihat masalah LAMP dari pelbagai aspek,” katanya.

Tambah Fuziah, AELB hanya mampu melihat masalah LAMP dari aspek radiasi luaran sahaja sedangkan aspek pencemaran terhadap alam sekitar, kesihatan awam dan impak terhadap ekonomi telah diabaikan sama sekali oleh AELB dan MOSTI.

Dengan demikian MOSTI telah tidak bertindak secara telus di samping tidak mengamalkan komunikasi dua hala dengan rakyat dan pihak berkepentingan (stakeholders) di Kuantan sehingga gagal mewujudkan konsultasi awam sebelum menerima projek Lynas di Gebeng.

Hujah Fuziah, AELB tidak menghiraukan saranan panel antarabangsa IAEA di mana Rekomendasi 9 oleh IAEA tidak di patuhi dengan menggunakan Akta 304 Seksyen 41 sebagai alasan.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: