01 Disember 2011

Kaki pancing kecewa sungai kotor

5 Muharram 1433H. [MOD] -

MERGONG - Pelbagai jenis sampah dibuang ke dalam Sungai Mempelam termasuklah botol minuman, bangkai haiwan dan perabot yang menyebabkan sungai itu tercemar.

Kakitangan swasta, Mohd Salleh Abdullah, 32, berkata, sungai yang dipenuhi dengan sampah itu turut menimbulkan kebimbangan kepada penduduk sekitar kerana bimbang sekiranya berlaku masalah banjir kilat.

Menurutnya, kawasan yang turut dijadikan tempat untuk memancing dalam kalangan kaki pancing itu sepatutnya perlu dijaga bukannya dicemari dengan sampah.

“Apabila musim air pasang, kawasan ini sering dikunjungi oleh kaki pancing terutama pada hari cuti namun apabila sungai tercemar menyebabkan kami terpaksa menghidu bau busuk sampah yang penuh di dalam sungai.

“Kerja pembersihan sungai ini perlu dilakukan agar kawasan ini boleh menjadi daya tarikan untuk kaki pancing,” katanya.

Mohd Salleh berkata, kedudukan sungai bersebelahan jalan utama itu juga boleh menimbulkan pandangan tidak baik kepada pengguna jalan raya di kawasan itu kerana jalan itu seringkali digunakan oleh pengguna ke Perlis.

Dia berkata, sekiranya keadaan itu masih berterusan dan tiada tindakan, ia boleh menjejaskan keindahan sungai yang terdapat di kawasan pusat bandar.

“Penduduk dan orang ramai juga perlu memberi kerjasama dengan menjaga kebersihan sungai dengan tidak membuang sampah.

“Kerja pembersihan juga perlu dilakukan segera agar pencemaran sungai di kawasan ini tidak berterusan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: