01 Disember 2011

Menteri Perumahan mungkin tersinggung dengan Najib

5 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 1 Dis: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Wira Chor Chee Heung tidak mustahil amat tersinggung dengan sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap beliau kerana jelas memperkecilkan peranannya di dalam kementerian itu.


Tindakan seperti itu tidak seharusnya berlaku memandangkan Menteri Perumahan mempunyai bidang kuasa cukup besar di dalam segala hal yang berkaitan dengan perumahan negara, tetapi peranan tersebut ternyata telah diambil alih oleh Perdana Menteri.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai menteri yang berkuasa penuh di dalam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menteri terbabit antara lain wajar membentangkan sendiri sebarang rang undang-undang berkaitan perumahan negara di Dewan Rakyat

Menurut beliau, namun peranan tersebut tidak diberikan kepada Menteri Perumahan apabila Perdana Menteri sendiri yang membentangkan Rang Undang-undang Perumahan Rakyat 1Malaysia pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Katanya, tindakan seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia jelas menafikan peranan Menteri Perumahan di dalam kementerian terbabit, sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada pelbagai pihak.

"Kalau saya yang menjadi menteri perumahan, saya pasti amat tersinggung kerana semua tugas saya diambil oleh Perdana Menteri," katanya ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang Pemajuan Perumahan pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Sebelum itu, beliau menyuarakan kekesalannya dengan langkah Perdana Menteri yang mengambil tindakan untuk memperkenalkan rang undang-undang baru yang dinamakan Rang Undang-undang Perumahan Rakyat 1Malaysia bagi perumahan negara.

Katanya, pada hal undang-undang sedia ada sudah memadai, tetapi hanya perlu diperbaiki dan diperkemaskan sahaja bagi mengatasi segala kelemahan yang ada.

Lebih dikesali apabila menerusi rang undang-undang baru itu juga turut diwujudkan agensi atau perbadanan baru yang dinamakan Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia yang pasti akan memerlukan perbelanjaan tambahan lain pula dari kerajaan untuk membolehkannya berfungsi.

Setoap agensi baru dan program baru yang dilaksanakan, tambahnya, paling tidak pasti memerlukan 30 peratus untuk peruntukan awalnya.

Beliau turut musykil dengan peranan kementerian itu yang kini kelihatan amat lemah berbanding pihak pemaju sehingga meenyebabkan banyak pembeli rumah yang teraniaya di seluruh negara.

"Selain dengan pihak pemaju, Kementerian Perumahan juga kini amat lemah dengan bank dan ketiganya dengan pemimpin-pemimpin politik (khususnya dari Umno BN)," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Kementerian Perumahan, katanya, tidak sepatutnya menjadi selemah itu kerana jika keadaan itu berlaku pasti menyebabkan kepentingan rakyat semakin terjejas seperti yang berlaku sekarang.


Harakah Daily

Tiada ulasan: