01 Disember 2011

Pas mahu pemuda di setiap peringkat aktif

5 Muharram 1433H. [MOD] -

PENGKALAN BERANGAN - Pas menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa parti itu tidak menggalakkan sukan dan permainan malah mahu melihat pemuda Islam di setiap peringkat aktif serta seimbang dalam semua kegiatan hidup.

Menurut Setiausaha Badan Perhubungan Pas negeri Terengganu, Yahaya Ali, Nabi Muhammad SAW bersabda badan setiap orang itu haknya, yang menuntut kepada latihan dan kecergasan.

“Rasulullah kata atas badan kamu ada hak, maknanya Nabi nak suruh kita bersenam dan antara sunnahnya, orang muda ini sunah (untuk) berenang, memanah dan menunggang kuda.

“Jangan kita kata (bila) sebut orang Pas ini, benda-benda ‘main’ (permainan dan sukan) tidak suka atau tidak ada kaitan dengan agama,” katanya yang turut menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa Pas tidak menggalakkan sukan dan permainan kepada pemudanya.

Yahaya berkata demikian pada majlis penutup pertandingan bola sepak ‘musim banjir’ anjuran Pemuda Pas Dun Pengkalan Berangan yang diadakan di Kampung Pasir Putih di sini.

Hadir sama, Penasihat Majlis Tindakan Dun Pengkalan Berangan, Mohd Deraman.

Yahaya berkata, golongan pemuda mestilah membuat perubahan dalam hidup dan meningkatkan diri dalam apa sahaja kegiatan bermanfaat.

Menurutnya, agama Islam juga mengajar, orang yang paling baik adalah mereka yang dapat memberi manfaat kepada diri sendiri dan pada masa yang sama bermanfaat kepada orang lain.

Sehubungan itu, Yahaya juga Yang Dipertua Pas Kawasan Marang berharap orang muda dapat mengurus kehidupan zaman muda sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah SAW.

Sinar Harian

Tiada ulasan: