01 Disember 2011

Tanam janin tepi sungai

5 Muharram 1433H. [MOD] -

SEORANG penduduk Lorong Tenggiri menunjukkan tempat janin ditanam di kawasan tebing sungai, Lorong Tenggiri 10, Seberang Jaya.
Rahsia gali, timbus lubang tepi sungai dilihat penduduk

BUKIT MERTAJAM: Rasa curiga seorang wanita terhadap tindakan sepasang kekasih yang mengorek serta menimbus semula lubang yang mereka gali berhampiran sungai di Lorong Tenggiri 10, dekat sini, petang kelmarin membawa kepada penemuan janin.
Wanita yang enggan dikenali itu, berkata dia berasa curiga apabila melihat pasangan terbabit memberhentikan motosikal mereka di kawasan berkenaan kira-kira jam 3 petang dan menuju ke arah sungai berhampiran.
“Saya nampak lelaki itu mengorek lubang menggunakan penyodok, manakala wanita yang berbaju kurung itu pula kelihatan gelisah sambil memerhati keadaan sekeliling.

“Saya hanya memerhati gerak geri mereka dari jauh sebelum mengejutkan suami yang sedang tidur,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, kelmarin.

Beliau berkata, pasangan berkenaan beredar dalam keadaan tergesa-gesa selepas mengambil masa kira-kira 20 minit mengorek serta menimbus semula lubang itu.

“Hati saya tertanya-tanya apa yang mereka tanam di kawasan berkenaan dan dengan ditemani suami, kami mengorek lubang itu. Suami saya mengorek dengan berhati-hati dan kami terkejut apabila menemui janin yang sudah cukup sifat di dalam lubang itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan awal mendapati janin itu berusia lima bulan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyembunyikan kelahiran, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan," katanya.

sinar harian/-

Tiada ulasan: