20 Januari 2012

NFC: PKR Tak Akan Tutup Mulut

26 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA: Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin menegaskan bahawa beliau tidak akan sama sekali berdiam diri malah akan terus memperhebatkan kempen pendedahan skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC)walaupun menerima injunksi mahkamah agar tidak terus memperkatakan isu tersebut buat masa ini.

Menurut Ahli Parlimen Ampang itu, sebagai seorang wakil rakyat, beliau tidak gentar untuk terus memperjuangkan isu NFC sama ada di dalam atau luar Dewan Rakyat.

"Shahrizat tidak berhak menghalang kami untuk bersuara. Selaku Ahli Parlimen saya berhak membela dan memperjuangkan isu rakyat. Demi rakyat saya akan terus bersuara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Jumaat.

Pada Khamis, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap Zuraida dan Pengarah Strategik PKR, Mohd Rafizi Ramli.

Shahrizat juga memohon perintah injuksi bagi menghalang Zuraida dan Mohd Rafizi daripada terus membuat sebarang pernyataan atau kenyataan secara bertulis terhadapnya dan NFC atau syarikat-syarikat bersekutunya.

Bagaimanapun Zuraida menegaskan bahawa beliau tidak akan membuat sebarang pendedahan baru berhubung skandal NFC walaupun mengakui masih mempunyai pelbagai maklumat mengenainya.

"Selepas terkeluarnya berita saman RM100 juta ini, ramai yang menawarkan diri untuk memberi maklumat-maklumat baru yang luar dari rekod kami.

"Kita akan kumpul, kita ada maklumat baru. Tapi kita akan simpan dan akan keluarkan di mahkamah nanti," katanya.

Dalam pada itu Zuraida memberitahu bahawa beliau dan Mohd Rafizi akan diwakili barisan peguam PKR yang antaranya terdiri daripada Naib Presiden PKR, N. Surendran dan R. Sivarasa. mStar/-

Tiada ulasan: