20 Januari 2012

Remaja didakwa bunuh 4 sekeluarga

26 Safar 1433H. [MOD] -

Suspek kes bunuh keluarga usahawan dibawa ke Mahkamah Sibu, semalam.
Ibu tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000

SIBU: Seorang remaja lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh empat ahli keluarga usahawan pembalakan dan perkapalan di Lorong RTM 13B1 di sini, pada 3 Januari lalu.

Remaja 17 tahun itu turut didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh seorang lagi anak usahawan itu yang cedera parah namun terselamat dalam kejadian berkenaan.

Bagi tuduhan pertama hingga keempat, tertuduh antara jam 6 hingga 7.30 pagi didakwa dengan niat membunuh dengan menggunakan tukul besi mangsa, Ling Tong Hock, 36; ibunya, Leong Nyuk Lan, 76; serta dua anaknya, Amy Ling Zi Jiun, 7, dan David Lung Chei Qi,10.

Bagi tuduhan kelima, dia dituduh memukul menggunakan tukul besi seorang lagi mangsa, Kelvin Ling Chei You, 8, hingga mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Tertuduh hanya menundukkan kepala ketika kertas pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya Norlisla Abdul Latif di hadapan Hakim Indra Ayub, sebelum mengangguk sebagai tanda faham.

Bagaimanapun, tertuduh berkemungkinan dibicarakan sebagai pesalah juvana yang membolehkan hukuman lebih ringan jika sabit kesalahan namun ia bergantung kepada keputusan lanjut mahkamah mengenainya.

Mahkamah turut memutuskan ibu tertuduh berusia 44 tahun yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kes itu dilepaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, namun perlu melapor diri di Balai Polis Sentral di sini, setiap bulan.

Hakim kemudiannya menetapkan perbicaraan kes itu pada 29 Februari depan.

berita harian/-

Tiada ulasan: