13 Januari 2012

Lawatan penjara Tahun Baru Cina 25-26 Jan

19 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara membenarkan keluarga banduan daripada kalangan kaum Cina untuk melawat mereka di penjara sempena perayaan Tahun Baru Cina minggu depan.

Timbalan Komisioner Kanan Penjara, Supri Hashim, berkata lawatan dibenarkan pada 25 dan 26 Januari kerana semua penjara termasuk pusat pemulihan akhlak dan Sekolah Henry Gurney ditutup pada hari pertama dan kedua sambutan Tahun Baru Cina pada 23 dan 24 Januari ini.

“Bagaimanapun, keluarga bagi tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) boleh melakukan lawatan di Tempat Tahanan Perlindungan Kamunting pada 23 dan 24 Januari sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Waktu perjumpaan ditetapkan antara 8.15 pagi dan 4.15 petang.

Pelawat diminta membawa kad lawatan serta kad pengenalan bagi memudahkan urusan.

Namun, mereka tidak dibenarkan membawa sebarang makanan atau minuman semasa bertemu banduan kerana juadah boleh dibeli di kantin penjara.

Supri berkata ahli keluarga tidak digalakkan memberi wang kepada banduan semasa lawatan memandangkan segala kemudahan asas disediakan oleh Jabatan Penjara.

"Sekiranya pelawat hendak berbuat demikian atas urusan tertentu seperti bayaran yuran peperiksaan dan sebagainya, mereka perlu mendapatkan resit rasmi daripada penjara sebagai akuan penerimaan,” katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: