13 Januari 2012

PAS mahu JK pilihan khas semak tangga gaji SBPA

19 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Jan: PAS mahu satu Jawatankuasa Pilihan Khas dibentuk bagi menyemak semula sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diputuskan untuk ditangguhkan perlaksanaannya.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, penubuhan jawatankuasa itu penting agar satu badan yang diberi kuasa penuh untuk melihat secara keseluruhan permasalahan yang timbul dalam isu tersebut.

"Seperti kita katakan sebelum ini, kita tetap tuntut Jawatankuasa Pilihan Khas untuk kaji secara keseluruhan dan selesaikan semua masalah berbangkit tentang SBPA ini.

"Kita mahu jawatankuasa ini meneliti dan menyusun semula struktur gaji kakitangan ini," katanya kepada Harakahdaily.

Mahfuz berkata, tangga gaji kakitangan awam ditentukan kumpulan Jusa dalam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), manakala Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pula tidak mempunyai kuasa untuk mempertaikaikan keputusan yang dibuat JPA itu.

Ekoran itu, jika semakan semula hanya melibatkan perbincangan antara Ceupacs dan JPA, ianya dikhuatiri tidak dapat menyelesaikan persoalan berbangkit secara keseluruhannya.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengesahkan perlaksanaan skim SBPA yang septutnya bermula 1 Januari lalu, ditangguhkan untuk disemak semula.

Keputusan untuk semakan semula itu dibuat selepas perbincangan dengan Ceupacs.

Ceupacs yang merupakan badan induk mewakili 900,000 daripada 1.4 juta kakitangan awam itu sebelum ini mendakwa tidak dipanggil berbincang berhubung perlaksanaan skim bari itu.

Mengulas lanjut Mahfuz berkata, penangguhan itu sekaligus membenarkan dakwaan PAS sebelum ini bahawa ianya dibuat secara tergesa-gesa tanpa kakitangan awam diberi maklumat sebenar.

Malah lebih dari itu katanya, kerajaan sebelum ini juga menggunakan pendekatan ugutan dan paksaan terhadap kakitangan awam agar menandatangan pertukaran ke skim tersebut.

"Tindakan kerajaan yang membelakangkan Ceupacs sebelum ini adalah sesuatu yang tidak wajar dan menunjukkan kerajaan sebenarnya tidak mesra pekerja.

"Kita juga bimbang penangguhan ini hanya sekadar gimik menjelang pilihan raya, namun selepas pilihan raya semua cadangan JPA ini akan dilaksana semula," katanya.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena sebelum ini mendedahkan bahawa penjawat awam dalam Kumpulan Premier, yang dianggarkan dalam jumlah sekitar 40 orang, akan menerima gaji antara RM35,000 hingga RM60,000 tidak termasuk elaun tetap, elaun perumahan dan elaun khas pembantu rumah serta lain-lain.

Menurut beliau, penjawat awam dalam kategori satu Kumpulan Premier akan menerima gaji RM60,000, RM45,000 (kategori dua), RM40,000 (kategori tiga) dan RM35,000 (kategori empat).

Sedangkan katanya kakitangan Kumpulan Pelaksana hanya menerima kenaikan sekitar RM80, RM100, RM200.

"Maklumat yang saya terima, mereka yang bergred J54 hanya mendapat kenaikan pada kadar sangat rendah berbanding Jusa C ke atas yang mendapat kenaikan gaji antara RM6,000 hingga RM12,000," katanya.

HARAKAHDAILY/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kemukakan satu jadual gaji baru daripada pakatan rakyat yang lebih baik