09 Januari 2012

Lelaki ditahan bersama syabu RM2.88 juta

Safar 1433H. [MOD] -

BUTTERWORTH — Seorang lelaki rakyat tempatan ditahan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas 11.55 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM2.88 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), dekat sini malam tadi.

Pengarah JKDM Pulau Pinang, Datuk Zulkifli Yahya berkata, lelaki berusia 40-an itu ditahan pada pukul 10.30 malam setelah pegawai kastam dari Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP) mengesan imej yang meragukan dalam bagasi miliknya.

"Lelaki itu baru tiba di balai ketibaan LTAPP dari Guang Zhou, China dan pemeriksaan rapi oleh pegawai kastam dari cawangan Penguatkuasaan Narkotik menemui lima kotak dalam bagasinya.

"Setiap kotak itu mengandungi serbuk kristal dipercayai dadah jenis syabu, kesemuanya seberat 11.55 kilogram dan bernilai RM2.88 juta,” katanya pada sidang akhbar di Stor Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang di Bagan Jermal, di sini hari ini.

Beliau berkata, menurut rekod perjalanan, lelaki terbabit telah beberapa kali pergi ke China dan pihaknya tidak menolak kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah.

Zulkifli berkata, lelaki itu kini direman selama 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu dalam kes berasingan beliau berkata, pihaknya merampas 69,984 tin minuman keras (bir) bernilai RM869,551.20 yang cuba diseludup masuk pada 3 Januari lepas menerusi Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT).

Beliau berkata, pihaknya menahan sebuah kontena di luar pintu keluar NBCT pada pukul 3.55 petang dan hasil pemeriksaan, sejumlah minuman keras ditemui.

Susulan itu sebuah lagi kontena yang berada dalam kawasan pelabuhan ditahan.

"Kedua-dua kontena itu telah diikrarkan berisi ”yf-ry flexographic printing machine” . Susulan itu, kami menahan seorang lelaki berusia 70-an iaitu wakil agen penghantaran bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata, 1,478 kilorgam mercun dan bunga api bernilai RM24,710 termasuk cukai dirampas dalam pemeriksaan terhadap sebuah lori di Bandar Darul Aman, Kedah pada pukul 9.45 malam 5 Januari lepas.

"Kami menahan pemandu lori terbabit berusia 40-an bagi membantu siasatan,” katanya.

— BERNAMA

Tiada ulasan: