09 Januari 2012

MB Selangor nasihat Hasan Ali letak jawatan secara sukarela

15 Safar 1433H. [MOD] -

Kerajaan Negeri menghormati keputusan PAS memecat Datuk Dr Hasan Ali dan Dato' Menteri Besar telah mendapat nasihat daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri berkenaan status Dr Hasan sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (EXCO).

Pejabat Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri telah menasihatkan bahawa Dato' Menteri Besar mempunyai kuasa untuk menggugurkan Dr Hasan sebagai ahli Exco kerana beliau tidak lagi mewakili Pas dalam Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Namun begitu, Dato' Menteri Besar menyeru supaya Dr Hasan melepaskan jawatannya secara sukarela kerana adalah amat jelas beliau tidak lagi mewakili Pas.

"Saya berpendapat beliau sebagai seorang 'gentleman' perlu melepaskan jawatan ahli Exco secara sukarela kerana ini adalah untuk kebaikan beliau sendiri dan mereka yang terlibat," kata Menteri Besar, Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim.

Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri juga berpandangan bahawa meskipun perkenan DYMM Sultan Selangor diperlukan dalam pelantikan Ahli EXCO, namun perkenan DYMM Sultan tidak diperlukan untuk pelucutan atau pengguguran jawatan EXCO.

Dato' Menteri Besar akan mengadap DYMM Sultan Selangor pada Jumaat ini untuk memberi taklimat kepada baginda berhubung perkembangan terbaharu dan berbincang dengan baginda mengenai calon-calon penganti yang sesuai bagi jawatan EXCO.

Dikeluarkan oleh
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO' MENTERI BESAR

Tiada ulasan: