10 Januari 2012

Pemuda Umno Perak dituntut bayar RM600 ribu

16 Safar 1433H. [MOD] -
Harakahdaily,

IPOH, 10 Jan: Dewan Pemuda PAS Perak hari ini membuat serahan notis tuntutan ganti rugi RM600 ribu kepada pemuda Umno negeri ekoran kenyataan mengaitkan Unit Amal PAS dengan demonstrasi pelajar di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 1 Januari lalu.

Notis saman itu dibuat ke atas Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak dan Naib Ketuanya, Mohamad Annuar Ariffin.

Mereka yang diwakili Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) membuat serahan itu di pejabat pergerakan itu dan diterima Pegawai Komunikasi Media Pemuda Umno Perak, Syed Afzarizal Syed Salim.

Mengetuai penyerahan itu adalah Peguam dan Pengarah Undang-Undang Pemuda PAS Perak, Mohammed Zamri Ibrahim, manakala turut serta, Penolong Setiausaha Pemuda PAS Perak, Safarizal Saleh, Exco Pemuda PAS Perak, Mohd Hakimi Syah Alani, Zairul Azrun Zainal Abidin dan Pengarah Jabatan Amal Negeri Perak, Arif Sha'arani.

Dalam satu kenyataan, Safarizal berkata Pemuda PAS Perak akan menunggu tempoh yang telah dinyatakan bagi tujuan tuntutan ganti rugi tersebut dan akan terus mengambil tindakan susulan mengikut lunas undang-undang jika Pemuda Umno Perak dan Annuar masih gagal menjelaskan ganti rugi yang telah dikemukakan.

Sebelum ini, mereka memberi tempoh tiga hari bermula 4 Januari lalu kepada Mohamad Annuar untuk menarik balik kenyataannya dan memohon maaf.

Bagaimanapun, sehingga tempoh itu tamat, mereka mendakwa tiada sebarang tindakan dibuat Naib Ketua Pemuda Umno Perak itu.

Sehubungan itu, mereka hari ini menyerahkan notis ganti rugi sebelum mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya

Tiada ulasan: