10 Januari 2012

Empat sekeluarga nyaris maut

16 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA KRAI - Empat sekeluarga yang mempunyai talian persaudaraan dengan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat nyaris maut apabila rumah didiami mereka terbakar di Mengkebang Pusat, dekat sini, kelmarin.

Pada kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari, mangsa, Che Ku Mat Che Ku Muda, 65, dan isteri, Tuan Bidah Raja Ismail, 61, bersama dua cucu terselamat selepas sempat keluar menyelamatkan diri sebelum api memusnahkan rumah papan itu.

Tuan Bidah bagaimanapun­ melecur di muka, belakang dan tangan serta terpaksa ditahan dalam wad di Hospital Kuala Krai (HKK) akibat terkena bahang api ketika cuba masuk kali kedua bagi menyelamatkan barangan­ berharga miliknya.

Che Ku Mat, juga anak dua pupu kepada Nik Abdul Aziz berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama isteri sedang mengisi tapai ke dalam kereta manakala dua cucu mereka berusia empat dan lima tahun sedang tidur dalam sebuah bilik.

“Saya dan isteri sedang bersiap nak pergi ceramah agama di Masjid Al-Jauhar, dekat Guchil, jadi sementara tunggu waktu Zohor, kami isi dulu tapai dalam kereta.

“Tiba-tiba, terdengar bunyi letupan kecil dari dalam rumah dan bila saya masuk tengok, api sudah menyala di lantai salah satu bilik dekat dapur,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurutnya, dia cuba memadam api yang ketika itu masih kecil dengan mengambil air dari bilik air tetapi tidak sempat selepas tiba-tiba rebah, kemungkinan kerana terlalu panik.

“Saya sedih kerana tak semena-mena rebah dan seolah-olah tidak sedar apa sedang berlaku. Nasib baik, ingatan saya terlintas kepada dua cucu yang sedang tidur dan bingkas bangun untuk selamatkan mereka.

“Selepas kami keluar, isteri saya cuba masuk semula ke rumah untuk selamatkan wang yang diamanahkan kepadanya sebagai guru al-Quran tetapi tidak sempat dan dia pun cedera kena bahang api terutama atas belakang,” katanya.

Che Ku Mat berkata, buat sementara waktu, dia dan isteri serta cucu yang tinggal bersama mereka sebelum kejadian­ akan menumpang di rumah anaknya di kampung berkenaan.

“Kami tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat nak selamatkan apa-apa. Bomba anggarkan kerugian kira-kira RM120,000 manakala punca kebakaran masih belum diketahui,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman selepas menyampaikan bantuan segera Tabung Serambi Mekah dan sempat menziarahi Tuan Bidah di hospital berkata, beliau­ bersimpati atas kejadian malang menimpa keluarga berkenaan.

“Pada masa sama, kita perlu bersyukur kerana walaupun hilang tempat tinggal, mangsa sekeluarga selamat dan diharap mereka bersabar menerima kejadian ini sebagai ujian daripada ALLAH.

“Sumbangan tabung ini sebagai bantuan segera bagi membantu mangsa dan saya akan lihat selepas ini, apa lagi bentuk bantuan lain yang kita boleh salurkan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: