10 Januari 2012

Tuntut tunggakan kenaikan gaji

16 Safar 1433H. [MOD] -

MUAR – “Kami tidak puas hati dan seperti dipermainkan oleh penguru­san syarikat,” kata pengawal keselamatan, Zainurin Mohamad, 39.

Zainurin adalah antara 43 pengawal keselamatan yang bertugas di sekolah-sekolah sekitar Muar yang bernasib malang kerana tidak menerima tunggakan kenaikan gaji daripada pihak syarikat.

Menurutnya, dia dimaklumkan mengenai gaji asas pengawal kese­lamatan yang telah dinaikkan daripada RM270 kepada RM500 bermula 15 Februari 2011.

“Namun sehingga hari ini, gaji asas kami tidak dinaikkan mengikut kenaikan yang sebenarnya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di luar Jabatan Tenaga Kerja (JTK) cawan­­gan Muar, semalam.

Katanya, pihak syarikat juga gagal melunaskan pembayaran tunggakan kenaikan itu selama lapan bulan yang kini berjumlah RM1,840.

“Apabila berjumpa dengan pihak pengurusan syarikat untuk bertanya mengenai pembayaran tunggakan ini, mereka mengatakan Pejabat Pe­lajaran Daerah (PPD) masih belum me­­nerima sebarang pembayaran tung­­gakan ini.

“Tetapi berbeza pula jawapan daripada pihak PPD yang memaklumkan mereka sudah pun melunaskan bayaran kepada syarikat pada 2 No­vember, lalu.

Zainuri berkata, dia keliru dengan kenyataan pihak syarikat dan mereka seperti enggan membayar tunggakan kenaikan gaji seperti yang dituntut.

Jelasnya, atas desakan itu jugalah kami telah membuat laporan di JTK cawangan Muar, semalam.

“Pihak JTK juga menyarankan kami memfailkan kes tuntutan ini di mahkamah dalam waktu terdekat,” katanya.

Seorang lagi pengawal keselama­tan, Mohd Ridhwan Zulkifli, 26, berkata, selain tidak mendapat tungga­kan gaji dia juga kecewa apabila men­­getahui syarikat berkenaan tidak lagi membuat potongan caruman Kum­­pulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Ke­se­la­matan Sosial (Perkeso) sejak setahun lalu.

“Saya sangat terkejut kerana dalam penyata gaji bulanan syarikat tertera ada buat potongan.

“Saya menyedarinya ketika mengemas kini penyata KWSP baru-baru ini dan dimaklumkan tiada sebarang caruman dalam akuan tahun lalu,” katanya.

Katanya lagi, pihak syarikat turut memberikan pelbagai alasan apabila kami membangkitkan isu berkaitan caruman KWSP.

“Saya sangat kesal kerana syarikat ini tidak menjaga kebajikan pekerja yang rata-rata telah berkhidmat sebagai pengawal keselamatan selama setahun hingga dua tahun,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: