10 Januari 2012

Mayat terlentang di tangga

16 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga emas ditemui mati di tangga tingkat tujuh sebuah pangsapuri, di Jalan Sentul Bahagia di sini dengan keadaan terlentang dan tangan diikat dengan kain batik serta kesan darah di bahagian kepala.

Mangsa dikenali sebagai Siva, 62, ditemui kakaknya dan pengawal keselamatan di situ kira-kira jam 10 pagi semalam setelah dia gagal dihubungi sejak kelmarin.

Menurut sumber, mangsa sepatutnya pergi ke kuil bersama kakaknya pada jam 5 pagi kelmarin, namun mangsa gagal dihubungi membuatkan kakaknya membuat keputusan mencarinya di rumah semalam.

“Kakak mangsa pergi ke rumahnya di tingkat lapan dan mendapati pintu rumah mangsa terbuka dan tiada sesiapa di rumah. Bagaimanapun mangsa akhirnya ditemui di tangga tingkat tujuh dalam keadaan terlentang.

“Ketika ditemui, mangsa lengkap berpakaian tetapi ada kesan darah di kepala mangsa dan kain batik diikat di kedua-dua tangan mungkin untuk memudahkan ia diseret kerana mangsa berbadan besar,” katanya.

Sementara itu, seorang rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, dia ada menghubungi mangsa pada Sabtu malam dan dapat bercakap dengan mangsa.

Bagaimanapun katanya, petang kelmarin dia menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menggunakan nombor telefon mangsa dan meminta wang daripadanya dengan alasan untuk membiayai mangsa yang kini ditahan di sebuah hospital.

“Saya marah lelaki tersebut kerana memikirkan ia main-main dan kemudian talian dimatikan. Saya cuba telefon balik, tetapi panggilan tidak dijawab sehingga beberapa jam kemudian, nombor telefon mangsa sudah tidak dapat dihubungi,” katanya.

Difahamkan mangsa tinggal di pangsapuri tersebut sejak sembilan tahun lalu dan tinggal seorang diri.

Mangsa yang juga bekas ahli jawatankuasa persatuan penduduk pangsapuri tersebut, sebelum ini bertanggungjawab membuat kutipan yuran penyelenggaraan sejak 2005.

Sinar Harian cuba menghubungi Ketua Polis Daerah Sentul, Superitendan Zakaria Pagan, untuk maklumat lanjut, namun gagal.

Sinar Harian

Tiada ulasan: